36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

7 anugerah baharu pencarian ikon belia cemerlang HBN 2022 – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tahun ini akan memperkenalkan tujuh anugerah baharu pencarian ikon belia cemerlang
sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembabitan dan sumbangan generasi muda sangat diperlukan bagi memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata, peranan dan sumbangan golongan belia dalam pembangunan negara yang juga tunjang keutuhan Keluarga Malaysia akan sentiasa dihargai.

Sehubungan itu, menurut beliau bagi menghargai jasa belia, kerajaan akan memperkenalkan kategori anugerah baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara tahun ini sebagai inisiatif menyuntik semangat belia untuk terus menyumbang bakti kepada pembangunan negara.

“Sebanyak tujuh anugerah baharu pencarian ikon belia yang cemerlang dalam kategori dipertandingkan bagi tahun ini iaitu Ikon Belia Karismatik; Ikon Belia Kelestarian Alam; Ikon Belia Reka Tekno; Ikon Belia Influencer (Media Sosial); Ikon Belia Sanjungan Budi; Ikon Youth-Biz dan Ikon Belia OKU.

“Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula pada tahun ini, Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap sambutan HBN, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022  yang disiarkan secara langsung di RTM1, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sambutan HBN tahun ini yang bertemakan ‘Ini Masa Kita’ mengingatkan semua betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Menurut beliau, tema berkenaan juga sinonim dengan golongan belia yang pada masa kini untuk bersama membangunkan negara, walau dalam apa sekalipun keadaan yang melanda.

Dalam pada itu, golongan belia diminta lebih celik dan cakna mengenai sistem demokrasi berparlimen serta tanggungjawab sebagai pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang melalui pelaksanaan Undi18.

Perdana Menteri berkata, belia kini memainkan peranan lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutama dalam pemilihan pemimpin negara selaras pelaksanaan pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

“Jumlah pengundi belia berusia antara 21 hingga 40 tahun pada 2020 berjumlah 6.2 juta orang iaitu sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta pengundi berdaftar.

“Justeru pembabitan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara adalah petanda positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, negara mencipta sejarah baharu yang mana mana golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022 lalu.

Menurutnya, melalui hak mengundi itu, ia mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan hampir 750,000 pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18.

Pemimpin belia juga menurutnya digesa untuk peka terhadap penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) membabitkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

“Pelaksanaan pindaan akta ini dapat meramaikan pemimpin belia di bawah 30 tahun, seterusnya memberi ruang kepada belia untuk mengasah bakat kepemimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan