30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Dua maut nahas tiga kenderaan di Jalan Jerantut-Kuala Tembeling

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DUA maut dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di kilometer 16, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling berdekatan Bukit Atap, Jerantut, Pahang, kira-kira pukul 7.55 malam, semalam.

Dalam kejadian berkenaan, pesara Jabatan Pemetaan berusia 68 tahun dari Indera Mahkota Kuantan yang memandu Honda City meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut.

Manakala, penumpang lelaki berusia 23 tahun, yang duduk di bahagian hadapan kereta Honda Jazz, dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Kuala Tembeling meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan, siasatan awal kejadian mendapati pemandu kereta Honda City dari arah Jerantut cuba memotong kereta Proton Waja yang berada di hadapannya.

“Ketika sedang memotong, Honda Jazz yang datang dari arah hadapan menghala ke Jerantut bertembung dengan kereta Honda City. Kedua-dua kenderaan ini remuk di bahagian hadapan.

“Akibat kemalangan ini, pemandu Honda City meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Jerantut dan penumpang Honda Jazz telah maut di tempat kejadian,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, pemandu dan penumpang kereta Proton Waja, masing-masing, lelaki berusia 25 tahun dan kakak iparnya, 34 tahun dari PAKR Kuala Tembeling tidak mengalami kecederaan.

Manakala pemandu lelaki kereta Honda Jazz, berusia 26 tahun dari PAKR Kuala Tembeling, cedera di bahagian dada dan dirawat di Hospital Jerantut.

“Kawasan kemalangan itu jalan lurus dan berbukit, satu lorong dua hala serta garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi lorong dan cuaca baik. Permukaan jalan kering ketika kejadian namun gelap tanpa lampu jalan.

“Diminta pengguna lain yang menggunakan jalan berkenaan sentiasa berhati-hati kerana jalan yang bengkok dan berbukit itu kerap mengundang kemalangan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen  41(1) APJ 1987.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan