31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Dr Afifi undur diri jadi penasihat agama Sultan Perak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEJABAT Dewan Negara Perak mengesahkan penerimaan surat pengunduran daripada menjawat gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Orang Besar Delapan negeri Perak sekali gus penasihat rasmi Sultan Perak dalam hal ehwal agama Islam daripada Datuk Dr Afifi al-Akiti yang diulit kontroversi baru-baru ini.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim berkata, warkah pengunduran diri daripada gelaran itu yang bertarikh hari ini diutuskan Dr Afifi bagi memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk berundur daripada menyandang gelaran terbabit.

“Warkah beliau sudah diangkat sembah untuk pertimbangan Sultan Nazrin. Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat bakti yang diberikan Dr Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

“Baginda juga berkenan menerima permohonan itu (pengunduran) untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei 2022 (hari ini),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan turut dilampirkan bersama gambar salinan warkah yang diutus Dr Afifi kepada Dewan Negara Perak.

Menerusi warkah yang ditulis, Dr Afifi mengakui pengundurannya adalah berkait rapat dengan penularan rakaman di media sosial yang dilihat bertujuan mencemarkan namanya sejak dua minggu kebelakangan ini.

Menurut warkah itu, Dr Afifi memilih untuk tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlakunya perdebatan berpanjangan yang tidak memberi sebarang manfaat.

Menurutnya, rakaman yang ditularkan itu kelihatan mempersoal kesesuaian peranannya dengan institusi istana serta mempertikaikan peranannya dengan urusan hal ehwal agama Islam.

“Menginsafi perkara ini yang jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

“Keputusan ini saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada Sultannya, demi melindungi darjat kemuliaan Sultan Perak agar tidak dicacatkan dan begitu juga untuk mengelak institusi istana daripada dicemari,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Afifi diulit kontroversi selepas didakwa berada di sebuah kelab malam dalam keadaan didampingi beberapa wanita yang berpakaian menjolok mata dan video itu tular di media sosial.

Video berkenaan menampilkan rakaman sudut tepi kelibat lelaki yang wajahnya dikatakan mempunyai iras seperti Dr Afifi dalam keadaan sedang memakai topi, diapit dua wanita.

-EDISI9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan