27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Pejabat Sultan Perak lapor polis video titah lama Sultan Perak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEJABAT Sultan Perak membuat laporan polis berhubung satu video tular sebahagian kecil titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, laporan polis dibuat pada Sabtu lalu demi melindungi nama baik Sultan Nazrin daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak bagi meraih laba politik.

Katanya, petikan titah Sultan Nazrin pada 2013 itu ditularkan dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi menyokong sebuah parti politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menurutnya, video berkenaan memetik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin pada 19 Februari 2013 ketika memangku Raja Perak Darul Ridzuan di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran’.

“Titah baginda mempunyai 7,500 patah perkataan dan mengambil masa selama 90 minit. Bahagian yang memuji parti PAS hanyalah petikan pendek begitu juga dengan pujian terhadap UMNO dan untuk itu tidak timbul bahawa baginda hanya memandang tinggi mengenai PAS.

Advertisements

“Malahan kandungan titah itu sarat menghuraikan sejarah kedua-dua parti Melayu itu dan demi kebaikan bangsa dan negara, pentingnya untuk ummah mencari jalan menjalinkan persefahaman dan kerjasama meskipun memilih pendekatan politik berbeza.

“Baginda memberi ulasan seimbang antara dua parti politik Melayu terbabit dan turut menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecah belahkan bangsa dan memusnahkan negara,”katanya melalui kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Sultan Nazrin tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.

“Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan seperti ini disifatkan tidak sopan kepada seorang Raja Pemerintah dan sudah mencemarkan nama baik takhta. Oleh itu penularan video yang berkaitan wajib dihentikan,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan