28.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Video kandang khinzir sebelah kolam ikan patin rakaman lama

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

VIDEO kandang ternakan khinzir bersebelahan kolam ternakan ikan patin yang tular di media sosial hingga mengundang kegusaran masyarakat adalah merupakan video lama, kata Jabatan Perikanan (DOF).

Jabatan itu percaya rakaman video dan berita tidak sahih tersebut sengaja ditularkan pihak yang tidak bertanggungjawab.

DOF menjelaskan, ikan akuakultur oleh penternak berdaftar di bawah jabatan itu adalah halal dan berkualiti dengan Bahagian Biosekuriti DOF sentiasa mengadakan lawatan serta menjalankan ujian porcine iaitu pemantauan DNA khinzir.

“Ini bagi memastikan hasil ikan dan sumber makanan ternakan di bawah penternak berdaftar dengan DOF adalah terjamin bersih, halal serta menepati piawaian keselamatan makanan negara,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Sehubungan itu, pengguna media sosial dinasihatkan supaya tidak berkongsi video yang tidak disahkan kebenarannya.

Advertisements

Menurut DOF, penternak yang berdaftar di bawah DOF juga tertakluk kepada Peraturan Perikanan, Kaedah-Kaedah Perikanan setiap negeri yang menyatakan semua premis akuakultur akan dilesenkan dan aktiviti ternakan mereka dikawal rapi supaya mematuhi piawaian serta garis panduan Amalan Akuakultur Baik.

“Pegawai daripada Pejabat Perikanan Negeri (PPN) dan Pejabat Perikanan Daerah (PPD) juga sentiasa mengadakan lawatan ke tapak projek ternakan secara berkala bagi memantau dan memberikan khidmat nasihat teknikal berterusan mengenai kaedah penternakan Amalan Akuakultur Baik kepada penternak,”katanya.

Berdasarkan Perangkaan Tahunan Perikanan 2022, menurut DOF pengeluaran ikan patin di Pahang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 10,359.88 tan metrik, diikuti Perak dengan 4,853.70 tan metrik dan Kelantan sebanyak 2,309.15 tan metrik.

Menurut kenyataan itu lagi, DOF mengalu-alukan sebarang maklumat dan mengambil perhatian serius terhadap sebarang aduan yang melibatkan kesalahan di bawah peraturan perikanan yang berkuat kuasa, selain akan membuat siasatan terperinci.

“Jabatan itu turut mengingatkan sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,”kata kenyataan itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua helikopter TLDM terhempas dalam keadaan ‘airworthy’

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut ketika raptai lintas hormat sempena Hari TLDM Ke-90...

Lagi Artikel Berkaitan