JABATAN Perikan (DOF) memberi jaminan bahawa stok ikan di negara ini mencukupi ketika Monsun Timur Laut kerana pendaratan ikan di pantai barat semenanjung yang tidak terjejas oleh perubahan cuaca.
Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain menerusi kenyataan berkata, Monsun Timur Laut telah menyebabkan bekalan ikan terutamanya pendaratan spesies ikan kembung berkurang.
Katanya, tren pendaratan ikan kembung adalah paling rendah pada November hingga Mac atau April dan akan meningkat mulai Jun atau Julai setiap tahun.
Jelasnya, kekurangan bekalan ikan pada masa ini disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu di rantau ini.
“Jabatan Perikanan telah menjalankan kajian dan mempunyai maklumat lengkap mengenai cadangan musim tertutup bagi ikan kembung dan pelaling di kawasan pantai barat Semenanjung.
“Berdasarkan kajian pentaksiran sumber yang dijalankan DOF, stok ikan kembung akan mula tertangkap oleh pukat nelayan mulai April yang mana ini berkait dengan migrasi ikan kembung ke perairan negara,” katanya hari ini.
Berdasarkan data perangkaan DOF, pendaratan ikan kembung pada 2021 adalah sebanyak 40,959.95 tan metrik dengan nilai RM 421 juta.
Tahun berikutnya pula merekodkan 39,146.95 tan metrik dengan nilai RM458 juta dan bagi 2023 (Januari hingga September) mencatatkan 33,102 tan metrik dengan nilai RM410 juta.
Jumlah pendaratan ikan kembung bagi pantai barat Semenanjung sebanyak 22,765 tan metrik manakala di pantai timur sebanyak 9,637 tan metrik.
Dalam pada itu, Adnan berkata, sumber ikan kembung akan mulai stabil pada April di mana ikan tersebut didapati berada di kawasan perairan Malaysia.
“Oleh itu peningkatan sumber ikan kembung boleh berlaku dan memberi keuntungan kepada nelayan tempatan,” katanya. – Edisi 9