31.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Jasa, pengorbanan pahlawan pasti dikenang – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JASA dan pengorbanan pahlawan dan perwira negara pastinya akan dikenang dalam lipatan sejarah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai momen penting dalam memastikan keamanan, keselamatan dan keharmonian negara terus kukuh serta dipertahankan.

“Saya dan Azizah mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2023 di Dataran Pahlawan Negara.

“Kebhinekaan persembahan menggamit hadirin dan pastinya yang menyentuh hati adalah persembahan pantomim mengenai pengorbanan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) tatkala insiden serangan hendap pengganas Royal Sulu Force (RSF) di Perkampungan Ai Sri Jaya, Simunul, Semporna Sabah pada 2 Mac 2013.

“Kendatipun insiden itu telah berlalu 10 tahun lamanya, namun ia tetap memberi kesan kepada rakyat dan negara.

“Saya dan Azizah turut berkesempatan menyantuni isteri dan anak-anak anggota dan pegawai yang terkorban dalam insiden itu,”katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

Advertisements

Dalam hantaran terdahulu, Perdana Menteri turut tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anwar menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan pasukan keselamatan itu dalam melindungi kedaulatan negara.

“Salut saya buat mereka atas keringat yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan pertiwi.

“Jasa dan pengorbanan para pejuang sama ada yang masih hidup atau telah pergi meninggalkan kita akan sentiasa dikenang buat selamanya. Terima kasih atas sumbangan kalian kepada negara tercinta ini,”menurut hantaran itu.

Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytihar sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan