28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Penubuhan semula JASA bukan untuk tujuan politik

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Ketika pelbagai pihak mempertikaikan peruntukan sebanyak RM87 juta dalam Belanjawan 2021 bagi penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) hari ini tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam kenyataannya, kementerian itu memberi jaminan bahawa penubuhan semula JASA dianggotai oleh pasukan yang tidak langsung bermotifkan politik bertujuan memperkukuhkan sahsiah dan pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa.

‘’Sehubungan itu, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan kepada JASA sudah pasti akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melaksanakan fungsi dan peranan agensi berkenaan dengan berkesan,’’ kata kenyataan itu.

Berikut adalah kenyataan penuh kementerian tersebut;

Ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 hanya dengan usaha dan kerjasama semua pihak kita mampu memutuskan rantaian penularan dan mengharungi cabaran ini.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa serta budaya dan kekuatannya terletak pada perpaduan dalam kepelbagaian.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) diberi tanggungjawab untuk menerajui penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang bertindak sebagai agensi penyebaran maklumat dan komunikasi secara tersusun, strategik dan bersasar mengikut keadaan keperluan segmen masyarakat di semula lapisan.

Tanggungjawab ini adalah amat penting dan kritikal lebih-lebih lagi ketika negara sedang menghadapi krisis pandemik Covid-19 sepertimana sekarang.

Penyebaran berita-berita palsu yang memecah belahkan keharmonian masyarakat juga merupakan antara cabaran besar yang dihadapi oleh masyarakat majmuk kita hari ini.

Advertisements

JASA sebagai agensi kerajaan yang mendukung prinsip-prinsip Rukun Negara juga berperanan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang bersatu padu melalui penyebaran maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.

Dalam konteks ini, JASA telah dijenamakan semula bertepatan dengan fungsinya kini, JASA akan melaksanakan pengambilan pegawai dan kakitangan yang berkelayakan dan latihan untuk melahirkan pengamal komunikasi berkemahiran terutamanya dalam komunikasi media sosial dan digital bagi menyebarluaskan maklumat-maklumat penting dalam usaha mendidik dan membudayakan norma baharu dalam kalangan masyarakat. Ini adalah amat penting dilaksanakan segera.

Segala usaha ini juga akan terus menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat demi negara selari dengan Belanjawan 2021 bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama ketika kita berjuang membebaskan negara daripada situasi pandemik ini.

Peruntukan JASA dalam belanjawan ini bertujuan bagi pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan daerah seluruh negara, pembangunan modul dan latihan kompetensi kakitang, serta melengkapkan keperluan prasarana digital untuk menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk komuniksi agar dapat disampaikan segera secara berkesan kepada semua lapisan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.
Selain itu, ia juga melibatakan kos operasi bagi menggerakkan kakitangan khususnya di kawasan-kawasan yang jauh terpencil seluruh negara serta kos-kos lain yang diperlukan dalam penubuhan sebuah agensi baru.

KKMM memahami keresahan rakyat terhadap fungsi-fungsi JASA sebelum ini yang mungkin tidak dilaksanakan sebagaimana ditetapkan semasa pentadbiran terdahulu.

Namun KKMM memberi jaminan kepada semua pihak bahawa penubuhan semula JASA dianggotai oleh pasukan yang tidak langsung bermotifkan politik ini bertujuan untuk memperkukuhkan sahsiah dan pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa.

JASA bertanggungjawab untuk mengadakan sesi-sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin komuniti setempat dalam mendapatkan input-input penting yang konstruktif bagi pembinaan negara bangsa.

Segala perbelanjaan adalah tertakluk kepada peraturan kewangan kerajaan yang akan diaudit. Sehubungan dengan itu, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan kepada JASA sudah pasti akan dimanfaatkan sebaikl mungkin untuk melaksanakan fungsi dan peranan agensi berkenaan dengan berkesan.

Peruntukan ini juga secara langsung akan memberi peluang pekerjaan di samping meningkatkan ekonomi yang memberi manfaat kepada pihak penyedia perkhidmatan dan pekerja serta keseluruhannya.

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan