31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hanya moratorium automatik, keluar akaun 1 KWSP legakan M40

Mesti Baca

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam mendakwa insentif atau bantuan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) tidak berkurangan dalam Belanjawan 2021, sebaliknya kumpulan itu menerima banyak kelebihan.

Menurutnya, jumlah keseluruhan bantuan kepada golongan M40 yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun itu pada tahun hadapan bernilai RM10 bilion.

Kata beliau, antara bantuan membabitkan golongan itu adalah pengurangan bayaran cukai sebanyak satu peratus dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sembilan peratus serta pembayaran bersasar moratorium untuk golongan M40.

“Ini memberi lebih kurang RM90.3 bilion yang masuk ke dalam ekonomi. Pelbagai lagi insentif cukai diberikan kepada M40 dan bantuan pembayaran bersasar yang dimudah cara untuk golongan terkesan.

“Ia termasuk juga moratorium yang mana peminjam termasuk M40 perlu hanya membuat deklarasi sendiri seperti hilang pekerjaan dan pendapatan untuk mendapatkan lanjutan moratorium secara automatik,” katanya dalam satu wawancara, malam tadi.

Apa yang pasti, penjelasan Tengku Zafrul belum dapat memberi kelegaan kepada golongan M40 khasnya mereka yang tinggal di bandar besar khasnya di Lembah Klang yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak sebulan lalu.

TENGKU ZAFRUL TENGKU AZIZ

Ini ‘diburukkan’ lagi dengan pelaksanaan PKPB di beberapa negeri Semenanjung selama sebulan yang pasti memburukkan keadaan mereka.

Harus diingat, golongan M40 khasnya yang berada di sektor swasta amat terkesan dengan keadaan ekonomi semasa yang dilihat bergerak perlahan berikutan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Malah, pada pengumuman Belanjawan 2021, kebanyakan inisiatif kerajaan dilihat hanya menambahbaik keperluan golongan B40 yang umum tahu sudah menerima bantuan sewajarnya.

Bukannya mahu iri hati, tetapi golongan M40 ketika ini berdepan dengan zaman getir lebih-lebih lagi langkah penjimatan syarikat berikutan kesan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19.

Ini menyaksikan pendapatan mereka termasuk elaun bulanan dan gaji M40 yang dikurangkan atau dipotong berikutan tindakan drastik penjimatan dan menyelamatkan syarikat daripada gulung tikar.

Malah,  ada di antara pekerja sudah ‘turun pangkat’ daripada berstatus M40 tahun lalu kepada B40 tahun ini selepas diberhentikan kerja.

Umum mengetahui di media sosial sejak kebelakangan ini bagaimana seorang juruterbang yang pada tahun lalu gah berada di udara kini terpaksa menyinsing lengan berniaga makanan demi memastikan dapur mereka berasap.

Selain mereka yang berada di industri penerbangan, industri berkaitan seperti pelancongan, perhotelan dan pengangkutan awam turut terjejas dengan pelaksanaan PKPB yang berlarutan masuk dua bulan khasnya di Lembah Klang.

Ini dibuktikan bagaimana peniaga di Melaka mengeluh selepas  pendapatan mereka terjejas berikutan tiada lagi pelancong dari Lembah Klang yang boleh dikatakan hampir setiap minggu melancong ke negeri itu.

Pada masa sama, perkembangan harian kes positif Covid-19 di negara ini yang kekal pada tahap tiga dan empat angka menunjukkan rakyat berdepan dengan PKPB buat tempoh yang lebih lama lagi.

Namun, kebimbangan rakyat khasnya golongan M40 boleh diredakan dengan pelaksanaan moratorium secara automatik.

Harus diingat, bukan mudah membuat permohonan lanjutan moratorium kerana mereka juga perlu ditapis oleh bank dan tidak semestinya permohonan mereka diluluskan.

Peminjam juga perlu berdepan dengan karenah birokrasi bank yang melambatkan lagi kelulusan permohonan mereka.

Selain itu, berilah peluang kepada golongan M40 yang mencarum gaji mereka dengan KWSP mempunyai lebih tunai dengan pencarum itu dibenarkan mengeluarkan simpanan masing-masing ketika waktu kecemasan ini tanpa mengenakan sebarang syarat.

Lagipun itu memang wang pencarum namun kebenaran pengeluaran perlu bergantung kepada jumlah simpanan mereka.

Selagi tiada penawar kepada Covid-19, selama itulah rakyat bakal terkesan dengan kesan kemelesetan ekonomi dan langkah pencegahan oleh kerajaan.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan