SEKOLAH tidak dibenarkan memotong pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid yang diberikan oleh kerajaan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya prihatin terhadap beberapa aduan yang diterima berkaitan penyaluran peruntukan BAP kepada murid.
Kementerian itu berkata, pihak sekolah perlu mematuhi semua garis panduan berkaitan pelaksanaan BAP kepada murid.
“BAP bernilai RM150 bagi setiap murid dilaksanakan bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga,” katanya.
KPM berkata, penyaluran BAP dilakukan melalui sekolah secara kredit ke akaun murid atau secara tunai.
Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai penyaluran BAP boleh dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM.
Terdahulu, media baru-baru ini melaporkan mengenai perkongsian menerusi laman X yang mendakwa pihak ibu bapa hanya mendapat RM50 daripada keseluruhan RM150 yang diperuntukkan bagi BAP.
KPM sebelum ini mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid. -Edisi 9