31.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

UMNO minta kerajaan segera tubuh Suruhanjaya Ekonomi Gig

Mesti Baca

UMNO meminta kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig bagi memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja kumpulan terbabit di negara ini terpelihara.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur malam tadi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dibincangkan susulan Memorandum Tuntutan Rakan-Rakan Penghantar Syarikat Penyedia Perkhidmatan Penghantaran Barangan dan Makanan (P-Hailing) Grabfood yang diterima sebelum mesyuarat itu berlangsung.

Beliau berkata, dalam mesyuarat tersebut Pengerusi Sekretariat NGO MKT UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin telah membentangkan 10 perkara yang terkandung dalam memorandum tersebut.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk meminta Kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia sekaligus memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi Gig di Malaysia terpelihara,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat tersebut.

Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi.

Beliau berkata, mesyuarat juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia yang secara konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Advertisements

Katanya, ini termasuk sehingga membawa kepada keputusan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berpandukan kes yang dibawa oleh Afrika Selatan yang memerintahkan Israel untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO melalui Majlis Ekonomi dan Kewangan UMNO yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3hb Februari ini di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.

Katanya, Resolusi Kolokium tersebut kemudian akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan pada 29 Februari hingga 2 Mac.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan pada 21 hingga 24 Ogos 2024.

Bagaimanapun, katanya, parti itu akan memulakan dengan persidangan peringkat cawangan pada 22 April hingga 2 Jun serta Mesyuarat Perwakilan Bahagian termasuk sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada 21 hingga 29 Julai 2024. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan