25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

UMNO namakan Ismail Sabri calon PM hadapi PRU-15

Keputusan sebulat suara oleh ahli-ahli MKT UMNO dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi

Mesti Baca

UMNO hari ini memutuskan untuk mengekalkan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Keputusan UMNO menamakan Ismail Sabri sekali gus menamatkan dakyah pembangkang sebelum ini konon parti itu cuba mengangkat pemimpin didakwa “kluster mahkamah” sebagai Perdana Menteri.

“Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga sebulat suara mencadangkan agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru lalu, parti itu mencadangkan kepada Perdana Menteri agar membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-15 dapat diadakan dengan kadar segera.

Ia ekoran kejayaan Barisan Nasional (BN) yang menang besar dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Melaka dan Johor serta kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri itu awal tahun ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri dalam ucapan penggulungannya berkata, beliau akan berbincang dengan lima pemimpin tertinggi parti berhubung perkara itu.

Advertisements

Ahmad Zahid dalam ucapannya pula memberi bayangan bahawa beliau dan Najib “tidak ada rezeki” untuk menjadi Perdana Menteri, manakala Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan pula mungkin boleh mencuba dalam PRU-16.

Pada masa kini timbul spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Ahmad berkata, MKT UMNO itu juga memutuskan bahawa kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai tidak akan diteruskan.

Berhubung Pembentangan Akta Antilompat Parti pula, Ahmad berkata, MKT memutuskan perkara itu mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.

“UMNO berpendirian bahawa Akta Antilompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” kata beliau.

Bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul PAU 2021 lalu, satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei ini bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

Dalam PAU 2021 bulan lalu parti itu meluluskan usul supaya pemilihan ditangguh enam bulan selepas PRU diadakan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan