34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

SOP masih kuat kuasa meski negara lepasi kemuncak Omicron

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu negara kini sudah melepasi kemuncak varian Omicron, selari dengan unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu pada penghujung Mac lepas.

Beliau berkata, selepas dua minggu memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas, keadaan jangkitan COVID-19 di negara ini terus stabil.

“Ia termasuklah penurunan kadar kematian, kes aktif, serta kadar kebolehjangkitan (RT).

“Namun, biarpun lebih banyak kelonggaran ketika ini, prosedur operasi standard (SOP) perlu terus diikuti, untuk memastikan jangkitan COVID-19 stabil,” katanya, memetik laporan Astro AWANI.

Katanya, setelah dua minggu, kita membenarkan beberapa kelonggaran dan juga protokol baharu terutamanya yang tidak libatkan kuarantin bagi pengembara, keadaan jangkitan hari ini semakin stabil.

“Ini dapat dilihat di mana kes aktif COVID-19 telah menurun kepada 120,592, dan kita dapati hampir 97 peratus lebih sekarang, berisolasi di rumah, tak perlu dirujuk ke hospital atau pusat kuarantin.

“Kalau lihat dari segi nilai RT atau angka kebolehjangkitan, ia di bawah paras 1, atau lebih tepat di bawah paras 0.9, untuk beberapa hari lepas, dan ini menunjukkan trend jangkitan semakin stabil dan menurun.

“Begitu juga dari segi penggunaan fasiliti COVID-19, sejak beberapa minggu lepas yang menunjukkan penurunan, dan ini adalah selari dengan unjuran KKM yang telah saya umumkan pada awal bulan Feb, kita akan lihat kemuncak Omicron pada akhir Mac,” katanya lagi.

Jika keadaan terus menjadi lebih baik, Khairy berkata, berkemungkinan besar kerajaan dengan nasihat KKM akan terus membuat beberapa lagi kelonggaran.

Namun, buat masa ini, beliau mengingatkan semua pihak bahawa masih ada SOP yang perlu dipatuhi, seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam, dan menggunakan MySejahtera untuk mendaftar masuk di tempat-tempat tertentu.

Sementara itu, menyentuh mengenai status vaksinasi, Khairy berkata, setakat ini negara semakin mencapai sasaran untuk 70 peratus penerimaan dos penggalak, selepas data terkini menunjukkan ia berada pada paras 67.4 peratus.

Namun, beliau berkata, status PICKids berkemungkinan tidak mencapai sasarannya iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus kadar penerimaan menjelang hujung bulan ini.

“Oleh demikian Timbalan Menteri (Datuk Dr Noor Azmi Ghazali) semalam, pengerusi CITF-C telah mengumumkan bahawa kita ada tarikh tamat bagi PICKids, iaitu pada 15 Mei, dan bagi mereka tidak tampil untuk dapat dos pertama, mereka tidak lagi akan dapat diberikan vaksin Pfizer atau Sinovac oleh percuma oleh kerajaan.

“Mereka perlu membayar dalam pasaran swasta, yang hanya ada vaksin Sinovac. Manakala Pfizer hanyalah boleh didapati melalui program kerajaan.

“Cuma kerajaan akan simpan stok untuk mereka yang belum lagi sampai 5 tahun, atau stok penimbal untuk mereka yang akan sambut hari jadi ke lima.

“Atas sebab itu, saya merayu pihak ibu bapa dan penjaga untuk mendaftar 15 Mei ini, bagi memastikan anak dan jagaan mereka lebih terlindung daripada wabak COVID-19,” katanya.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan