31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Sultan Ibrahim titah calon Exco Johor perlu isytihar harta

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan supaya calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Johor Bahru, semalam.

“Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah baginda menerusi Facebook rasmi baginda.

Pertemuan bersama Sultan Johor dan Onn Hafiz itu berlangsung selama hampir sejam.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut menitahkan supaya kelayakan akademik setiap calon-calon Exco juga disemak kesahihannya dengan teliti.

“Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

“Saya pegang kata-kata Datuk Hasni (Mohammad), tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda sentiasa mengutamakan nasib rakyat dan begitu juga wakil rakyat yang dipilih, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.

“Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.

“Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda.

Kelmarin, media melaporkan, cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno Datuk Onn Jaafar, iaitu Onn Hafiz, dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim kira-kira jam 3 petang.

Onn Hafiz merupakan Naib Ketua Bahagian Umno Simpang Renggam yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, dengan majoriti 6,543 undi.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan