27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Kolam selam tempur siap Jun, kalau tidak JKR jawab – MB

Mesti Baca

KOLAM selam tempur di Kem Iskandar, Mersing dijangka siap pada Jun ini, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihaknya akan memantau projek itu secara lebih rapat, bagi memastikan tiada lagi penangguhan berlaku seperti sebelum ini.

“Dalam kes kem di Mersing itu, saya difahamkan sudah enam kali pihak pemaju mohon EOT (lanjutan masa) sejak tahun 2020. Saya sudah berhubung dengan pihak JKR untuk mendapatkan maklumat terkini. Sekiranya tidak siap JKR kena jawab.

“Saya juga lihat banyak projek yang terpaksa ditambah masa (di Johor), justeru itu pengurusan projek perlu ada pemantauan lebih baik untuk memastikan kos tidak naik dan juga projek selesai dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran perkhidmatan bas elektrik rentas sempadan pertama di Malaysia, di Iskandar Puteri hari ini.

Advertisements

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata projek berkenaan kini berada pada tahap kemajuan 98 peratus dengan hanya kerja-kerja pemasangan jubin, kemasan jalan, penyediaan perabot, pembahagi ruang pejabat dan pintu, yang masih perlu disiapkan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) dilaporkan bertitah, kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

Majlis pecah tanah kolam yang merupakan fasiliti amat diperlukan oleh anggota 21 GGK bagi meningkatkan kompetensi individu dan pasukan, khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim itu disempurnakan Sultan Ibrahim pada Mei 2018. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan