24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

UMNO, bersuaralah demi nasib bekas kakitangan Utusan Melayu!

Nukilan ini adalah isi hati bekas pekerja Utusan Melayu kepada parti UMNO yang pernah menghirup kudrat kami.

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

“INI kita nak tolong ‘orang kita’ pulak.” – Saya masih teringat kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri itu bagi membincangkan rancangan advertorial Felda di akhbar Utusan Malaysia beberapa tahun sebelum beliau meletak jawatan.

Kenyataan itu sememangnya menunjukkan yang kerajaan ketika itu diterajui oleh kepimpinan UMNO mempunyai kaitan yang amat kuat dengan Utusan Malaysia, akhbar terbitan Utusan Melayu yang telah sekian lama menjadi ‘media rasmi’ kepada aktiviti pemimpin-pemimpinnya.

Maka tidak hairanlah, setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Utusan adalah antara media yang paling sibuk membuat persiapan dan kebiasaannya mendapat tempat yang signifikan dari segi penempatan pejabat sementara atau peluang mewancara pemimpin-pemimpin parti itu.

Tetapi apakah yang telah berlaku sekarang?

Setelah syarikat Utusan Melayu ditutup pada Oktober 2019, lebih 800 kakitangan diberhentikan kerja dan kurang dari 100 orang yang diserap untuk bersama-sama mengusahakan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! versi baru – pemimpin dan orang UMNO seakan-akan semakin lupa kepada Utusan.

Sebenarnya, jika kita berbicara dengan orang-orang lama UMNO, mereka sangat terkesan apabila mengetahui ‘satu institusi’ yang sama-sama mereka tubuhkan dahulu untuk mengangkat perjuangan orang Melayu di zaman penjajahan British telah musnah sekelip mata kerana pelbagai faktor.

Ramai daripada ayah atau datuk, nenek ahli-ahli UMNO yang merupakan tunjang utama kepada penubuhan Utusan Melayu kerana mereka sanggup bergolok gadai membeli saham akhbar tersebut untuk membolehkan ia meneruskan perjuangan orang-orang Melayu ketika itu.

Tinggal kenangan… Kakitangan Utusan Melayu berkampung di PWTC setiap kali Perhimpunan Agung UMNO diadakan suatu ketika dahulu.

Hutang syarikat bertimbun-timbun, kos operasi yang sentiasa meningkat, keuntungan disonglap oleh kos pencetakan dan edaran yang tidak dikawal, tiadanya idea pembangunan perniagaan baharu dan bagaimana hendak memulihkan syarikat – menjadi punca, ‘hero’ terakhir Utusan, bekas bos nombor satu, Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir mengambil langkah ‘mentalkinkan’ sahaja institusi keramat ini.

Walaupun pernah berjanji di hadapan ratusan kakitangan yang beliau tidak akan menjadi orang terakhir menyaksikan Utusan ‘ditalkin’ tetapi kita semua dah tahu “janji bukan kitab suci.” Maka terjadilah apa yang terjadi.

Syarikat memberhentikan operasi dengan memberikan notis tidak sampai 24 jam kepada pekerja dan ketika itu syarikat berhutang tunggakan ‘dua bulan gaji’, berhutang caruman KWSP, PCB, Perkeso dan sebagainya.

Kebanyakan hutang-hutang itu hanya dilangsaikan Utusan dalam tempoh dua tahun selepas penutupan. Kini kami masih menanti apakah pampasan ‘akan atau tidak akan’ diberi.

Advertisements

Tetapi bukanlah tujuan tulisan ini untuk menyalahkan Aziz semata-mata atas penutupan Utusan tetapi beliau dan pasukannyalah yang menjadi perancang utama kepada proses penutupan syarikat menggunakan kaedah ‘penggulungan sukarela’ agar ‘Utusan kebal’ dari sebarang tindakan kakitangan yang diberhentikan dan pemiutang lain.

Perancangan penutupan yang dirancang dengan begitu teliti sehinggakan bekas pekerja ‘tidak berpeluang’ untuk menuntut hak mereka terutama dari segi pampasan walaupun aset syarikat masih bernilai beratus juta ringgit ketika syarikat ditutup.

Memilih pendekatan untuk ‘menggulung syarikat secara sukarela’ merupakan taktik paling jahat yang boleh dilaksanakan oleh mana-mana syarikat yang hendak menutup perniagaan dan kemudiannya menjadikan mereka ‘kebal’ daripada tindakan mahkamah oleh bekas pekerja.

Ini kerana kerana kebanyakan ‘perjanjian kolektif’ pekerja walaupun dilindungi oleh Kesatuan Sekerja tidak akan memasukkan terma-terma ‘penggulungan syarikat’ untuk membolehkan pekerja mendapat faedah penamatan atau pampasan, kecuali penutupan syarikat.

Kembali kepada kaitan UMNO dan Utusan Melayu. Peranan Utusan Melayu dalam membina dan mencorakkan minda bangsa telah berjalan sekian lama dan Datuk Onn Jaafar yang memimpin UMNO (1946-1951) menyifatkan perjuangan UMNO ialah hasil seruan dalam akhbar tersebut.

Tetapi setelah orang Melayu menjadi semakin kukuh dan kembali menunjang pemerintahan negara, nasib bekas-bekas pekerja Utusan Melayu yang diberhentikan kerja hampir tiga tahun lepas masih belum terbela.

Ada bekas kakitangan yang telah meninggal, ada yang terlantar di rumah dan masih ramai yang menagih kerja di sana sini untuk memastikan keluarga mendapat sesuap nasi.

Kami sebenarnya bukan mengharapkan bulan dan bintang, tetapi wajarlah ahli atau pemimpin UMNO yang pernah bersama-sama kami dahulu ‘melihat sedikit’ nasib bekas-bekas pekerja yang masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Kami telah penat berharap, kami telah penat menanti, kami telah penat berjuang. Yang tinggal hanya tekad dan harapan. Dan kami amat berharap agar pemimpin UMNO akan hadir membawa kapal untuk membawa kami ke pesisir pantai harapan penyelesaian.

Kami bermohon agar bersuaralah di Perhimpunan Agung UMNO kali ini agar ada pihak-pihak yang berusaha mengambil tindakan sewajarnya kerana kami amat yakin Utusan Melayu bukan ‘tidak mampu’ untuk menghargai bekas pekerjanya yang keseluruhannya adalah MELAYU.

BEKAS PEKERJA UTUSAN MELAYU
Bangi, Selangor

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan