25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Lebih 800 bekas kakitangan Utusan Melayu berputih mata

Syarikat pelikuidasi tiada rancangan bayar pampasan walaupun peroleh lebihan jualan aset syarikat mencecah RM86 juta

Mesti Baca

LEBIH 800 bekas kakitangan Utusan Melayu Malaysia Berhad terpaksa berputih mata apabila syarikat pelikudiasi, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd (UHY) menyatakan tidak berhasrat untuk membayar pampasan kepada mereka.

Mereka adalah kakitangan Utusan Melayu yang kekal bertahan sehingga syarikat itu mengisytiharkan diri sebagai muflis, dan menamatkan operasi secara mengejut pada Oktober 2019 lalu.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat Kreditor Utusan Melayu hari ini, syarikat tersebut menyatakan hanya pekerja yang dinyatakan di bawah Akta Pekerja iaitu pekerja bergaji di bawah RM2,000 dan bekerja buruh manual sahaja yang layak mendapat faedah penamapatan, manakala lain-lain pekerja tidak termasuk.

Menurut sumber, daripada lebih 800 bekas kakitangan Utusan Melayu tersebut, hanya sebilangan kecil bekas kaitangan sahaja yang termasuk dalam kategori yang layak di bawah Akta Pekerja tersebut.

“Kami akan membayar kepada mereka yang layak di bawah Akta Pekerja sahaja dan bayaran akan dibuat apabila telah mempunyai wang mencukupi hasil jualan aset Utusan,” kata salah seorang peguam syarikat tersebut dalam mesyuarat hari ini yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom.

Katanya, setakat ini, UHY telah menjelaskan segala hutang-hutang yang wajib dibayar kepada pekerja seperti tungakan gaji, hutang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Potongan Cukai Berjadual Lembaga Hasil dalam Negeri, gratuati (kepada yang layak) dan kini hanya berhutang pembayaran baki cuti kakitangan.

Kegagalan UHY untuk menyatakan kesediaan mereka membayar faedah penamatan kepada semua bekas kakitangan amat dikesali oleh bekas-bekas pekerja Utusan Melayu yang telah hampir tiga tahun menanti pembayaran pampasan selepas diberhentikan kerja seperti diamalkan oleh kebanyakan syarikat di negara ini.

Walaupun UHY menyatakan syarikat itu dijangka akan mempunyai lebihan tunai sebanyak RM86 juta selepas selesai penjualan aset utama Utusan Melayu menjelang hujung tahun ini tetapi ia hanya akan digunakan untuk pembayaran kepada kreditor-kreditor yang mengemukakan tuntutan bukti hutang (Proof of Dept).

“Jika kami berpuas hati selepas menilai POD itu, kami akan membuat pembayaran interim dividen kepada mereka,” kata UHY tanpa menyatakan secara terperinci mengenai cadangan pembayaran pampasan.

Menurut penerangan UHY, mereka dijangka akan mempunyai wang di tangan sebanyak RM86 juta selepas wang jualan aset utama ibu pejabat dan kilang di Bangi bernilai sebanyak RM161.7 juta ditolak hutang pemiutang bercagar (secured creditor) sebanyak RM75.7 juta.

Bekas kakitangan Utusan Melayu menyatakan kekesalan mereka kerana UHY masih tidak menyatakan kesediaan mereka untuk membayar pampasan kepada bekas pekerja walaupun mengetahui akan mempunyai wang sebanyak RM86 juta sebelum akhir tahun ini.

“Malahan, UHY juga tidak langsung berminat untuk mengadakan rundingan damai dengan mana-mana pihak mewakili kakitangan yang membuat tuntutan mahkamah mengenai cadangan bayaran pampasan,” kata kakitangan itu.

Sementara itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyatakan UHY telah mengesahkan tidak akan membayar pampasan seperti yang dituntut oleh kesatuan itu kepada ahli-ahlinya menerusi surat penolakan bukti hutang yang dihantar kepada mereka pada 4 Mac 2022.

Menurut kenyataan Bekas Pengerusi NUJ Semenanjung Malaysia Peringkat Cawangan Utusan Melayu, Mohd. Taufek Razak, seramai 201 orang bekas kakitangan ahli NUJ yang ditamatkan perkhidmatan di Utusan Melayu telah dinafikan hak mereka untuk menikmati pampasan mengikut Perjanjian Kolektif (CA).

“Walaupun CA tersebut telah diiktiraf oleh Mahkamah Perusahaan pada 2 November 2018, namun ia kini seolah-olah stau perjanjian lusuh yang tidak bermakna kepada bekas kakitangan Utusan Melayu yang telah mencurah bakti dan khidmat selama puluhan tahun di syarikat tersebut,” katanya.

Katanya, nasib bekas kakitangan Utusan menjadi lebih malang kerana sehingga kini tiada mana-mana pihak yang benar-benar ingin membela nasib bekas pekerja Utusan Melayu.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan