31.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 29, 2022

Stadium Nasional: KBS hargai penajaan rumput oleh TMJ

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menghargai hasrat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menerusi ciapan di Twitter beliau berkata: “Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim Tunku Mahkota Johor, @HRHJohorII atas kurniaan penajaan penanaman rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil.”

Semalam, Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers bertitah mahu menanggung kos pertukaran rumput Cow Grass kepada jenis Zeon Zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri, sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.

“Saya telah mengarahkan pengurusan JDT untuk membantu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), bagi memastikan Stadium Nasional, mempunyai padang yang kualitinya layak untuk perlawanan bola sepak antarabangsa,” titah baginda.

JDT kemudian menerusi kemas kini di media sosial berkata, Tunku Ismail telah pun menandatangani cek untuk kerja pertukaran padang itu dengan pemeriksaan di Stadium Nasional akan dilakukan pada 19 Mac (Sabtu), sebelum meneruskan persiapan terakhir dengan PSM.

Baca juga:   TMJ lepaskan JDT kerana komitmen, tanggungjawab lain

Pada Mac tahun lepas, dilaporkan kerja-kerja menggantikan rumput dengan kos RM10 juta dijangka siap dalam masa tiga bulan (Jun 2021), yang turut merangkumi penyelenggaraan padang, sistem pengudaraan, sistem saliran, pencahayaan buatan serta latihan kepada penyelia rumput.

Baca juga:   Pihak terkesan akaun parodi boleh ambil tindakan sivil

Namun, projek berkenaan masih belum bermula walaupun kerajaan telah meluluskan bajet, manakala stadium itu juga telah digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula 21 Jun lepas.

Sementara itu, menurut sumber daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sehingga ini masih belum ada apa-apa hitam putih antara kementerian itu dan TMJ, setakat tengah hari ini.

Turut difahamkan bahawa PSM juga belum memutuskan jenis rumput bakal digunakan, kerana menunggu laporan daripada sebuah universiti tempatan mengenai jenis rumput paling sesuai bagi stadium itu.

“Badan Lembaga PSM akan membuat keputusan mengenai jenis rumput paling sesuai berdasarkan kepada bukti saintifik didapati daripada pakar runding.

“PSM dan KBS tidak mahu membuat keputusan terburu-buru, tetapi berdasarkan kepada laporan saintifik bagi mengelakkan berlakunya isu berkaitan rumput di stadium tersebut.

“Terdapat pandangan berbeza berkaitan Cow Grass, ada yang suka dan ada yang tidak. Kami juga perlu melihat kepada pelbagai aspek, termasuklah tujuan penggunaan stadium, jika ia terhad kepada bola sepak, ia akan memberi kesan kepada pendapatan PSM,” kata sumber itu.

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon bakal mengadakan latihan selama lapan hari bermula 14 Mac (Isnin), untuk menghadapi Siri Tiga-Negara FAS 2022 berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura (26 Mac).

Baca juga:   JKNPP siasatan kejadian wanita bersalin dalam kereta

Pasukan kebangsaan itu juga akan beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bertemu pasukan ranking ke-134 dunia Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti aksi menentang Bahrain (89) pada 11 Jun dan Bangladesh (186) pada 14 Jun.- Bernama

Baca juga:   Omicron: Melaka, Johor kesan kes jemaah pulang umrah

Terkini

Fasiliti di Klinik Kesihatan Dengkil ditambah baik

KEMENTERIAN Kesihatan bersetuju menambah baik fasiliti di Klinik Kesihatan Dengkil di Sepang, Selangor bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk...

Lagi Artikel Berkaitan