28.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Padang SNBJ habis jahanam, PSM hanya mohon maaf

Mesti Baca

TIDAK guna melabur sampai berjuta-juta ringgit untuk menyediakan padang rumput yang terbaik dan kerja-kerja pemasangan memakan masa berbulan-bulan demi aksi bola sepak yang terbaik akhirnya dimusnahkan dalam satu malam sahaja.

Namun itulah yang berlaku terhadap padang rumput Zeon Zoysia bernilai RM1.4 juta tajaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akhirnya rosak teruk akibat membenarkan pentas konsert penyanyi antarabangsa dipasang di tengah padang.

Bagaimanapun, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang bertanggungjawab menguruskan SNBJ sekadar memohon maaf kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC kerana gagal membaik pulih padang tersebut menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia malam esok.

Permohonan maaf juga ditujukan kepada para penyokong kedua-dua pasukan ekoran keadaan padang SNBJ yang kurang memuaskan menjelang aksi final.

PSM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay pada 22 November lalu.

“PSM komited melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa hadapan,” kata kenyataan itu hari ini.

Advertisements

Sementara itu, Bernama melaporkan, kedua-dua finalis, JDT dan TFC tidak berpuas hati dengan keadaan padang SNBJ menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 malam esok.

Ketua jurulatih JDT Esteban Solari berkata, padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu tidak berada pada tahap terbaik dan menggesa semua pihak bekerjasama untuk memelihara hadiah daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Argentina berusia 43 tahun itu berkata walaupun apa jua keadaan padang, pasukannya akan terus memberikan aksi cemerlang dan mencipta kejayaan membanggakan.

Ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner juga tidak gembira dengan keadaan padang berkata, walaupun tidak sempurna, tapi keadaan padang itu masih boleh diterima.

“Saya sudah lihat padang, dan lihat melalui media beberapa hari lepas, tidak sempurna tapi okey. Esok dua pasukan akan beraksi dan kita akan bergelut bersama untuk mencapai sasaran kita,” kata jurulatih Crotia-Jerman itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan