PERLAWANAN akhir bagi kejohanan Pestabola Merdeka 2023 akan kekal dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang diadakan sejurus pemeriksaan padang di stadium tersebut, hari ini.
Katanya, selepas penelitian dan penilaian dari aspek teknikal, ia boleh digunakan untuk aksi final, pada Selasa ini.
“Jika dipindahkan ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, ia akan menimbulkan lebih masalah dan kesulitan kepada penyokong Harimau Malaya yang telah membeli tiket kerana majoriti mereka tinggal di Lembah Klang.
“Justeru, dengan mengambil keputusan kekal bermain di Stadium Nasional ini, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan PSM di sepanjang tempoh beberapa hari menjelang final.
“Ini bagi memastikan tahap atau keadaan padang Stadium Nasional dapat diminimumkan kerosakannya demi memastikan aksi final dapat berjalan dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin; Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac; Ahli Lembaga Pengarah PSM, Datuk Seri Windsor John; Pengerusi LOC Pestabola Merdeka 2023, Mohd. Firdaus Mohamed dan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon tengah hari tadi telah melakukan pemeriksaan terkini padang Stadium Nasional.
Mengulas lanjut, Noor Azman berkata, keputusan tersebut turut mengambil kira beberapa faktor dan pertimbangan lain.
Katanya, ia termasuk dari aspek logistik membabitkan sekretariat, petugas serta pasukan yang terlibat, selain tiada venue lain di Lembah Klang yang mampu menampung jangkaan jumlah kehadiran penyokong Harimau Malaya.
“Biarpun keadaan padang baharu Stadium Nasional tidak begitu memuaskan sewaktu perlawanan pertama Jumaat lalu, FAM yakin dan percaya bahawa PSM serta pihak konsultan teknikal dan kontraktornya mampu untuk membaik pulih keadaan rumput tersebut.
“Malah Pan Gon sendiri dari segi teknikal melihat bahawa padang tersebut boleh dimainkan dan berasakan adalah lebih baik aksi final kekal di Stadium Nasional supaya tidak mengganggu fokus dan persiapan pasukannya,” katanya. – Edisi 9