SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan penjawat awam di negeri itu dari semua peringkat supaya hidup dalam kadar kemampuan sendiri.
Titah baginda, peringatan itu adalah bagi mengelakkan penjawat awam di negeri itu terbabit dalam rasuah.
“Semua penjawat awam hendaklah mengisytiharkan harta setiap tahun kerana ini adalah salah satu cara untuk mencegah pemilikan harta luar biasa.
“Kerajaan boleh mengkaji gaji segelintir kakitangan awam yang terlalu rendah kerana ini juga boleh menjadi faktor tekanaan hidup, terutama di bandar-bandar besar,” titah baginda menerusi Facebook Royal Press Office (RPO) hari ini.
Sultan Johor bertitah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut membangkitkan perkara sama dimana Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi mana-mana pegawai dan anggota terlibat dengan salah guna kuasa atau perbuatan rasuah.
Titah baginda lagi, penjawat awam di Johor perlu sentiasa menerapkan integriti tinggi yang mampu meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap mereka.
“Penjawat awam perlu hidup dalam kemampuan sendiri dan perlu ingat mana-mana penjawat awam hidup mewah hasil daripada rasuah tidak akan terlepas siasatan pihak berkuasa.
“Anda (penjawat awam) semua diperhatikan. Sudah semestinya, mana-mana penjawat awam menjalani gaya hidup mewah melebihi taraf kehidupan yang munasabah menimbulkan tanda tanya,” titah Sultan Johor. – Edisi 9