26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Konsert Muse tak jejas proses penggantian rumput padang SNBJ

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGANJURAN konsert kumpulan rock terkemuka dari United Kingdom, Muse, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada Sabtu ini tidak akan menjejaskan proses penggantian rumput padang baharu, Zeon Zoysia, yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi berkata, setakat ini rumput masih belum ditanam manakala permukaan padang SNBJ yang diseliputi pasir akan dilindungi dengan ‘pitch cover’ sepanjang konsert berjudul Will of The People World Tour 2023 itu berlangsung.

“Tidak terjejas (proses penggantian rumput), bahkan tiada rumput lagi, cuma sistem pengaliran sudah selesai.

“Setakat ini progres penukaran rumput sudah lebih 50 peratus.

“Selepas tamat konsert Muse, kontraktor akan mula menanam rumput baharu bermula 1 Ogos ini dan memakan masa selama dua minggu,” katanya pada sidang media malam penghargaan dan sambutan ulang tahun ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC) malam tadi.

Muse yang popular menerusi lagu Time Is Running Out, Supermassive Black Hole dan Starlight pernah menggegarkan Stadium Negara menerusi konsert sulung mereka di Malaysia pada 2007.

Dalam pada itu, Mohd Faidz menjangkakan proses penggantian rumput baharu tersebut dijadual siap sepenuhnya pada hujung September dan seterusnya sempat digunakan untuk penganjuran Pestabola Merdeka, Oktober ini.

Advertisements

Selain Harimau Malaya, Pestabola Merdeka yang kembali dianjurkan selepas 10 tahun menyepi akan melibatkan India, Palestin dan Lubnan selaku pencabar utama skuad kendalian Kim Pan Gon.

Beliau pada masa sama berkata, pembinaan nurseri bersebelahan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil juga turut mencapai tahap kemajuan lebih 50 peratus.

“Sebelum ini, sekiranya padang rosak kita akan betulkan dekat padang sendiri namun selepas ini kita boleh cabut patch yang rosak dan ganti dengan baharu dari nurseri,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac menyerahkan kepada kontraktor dalam menentukan waktu yang sesuai untuk padang sedia digunakan selepas proses penggantian rumput berjaya dilaksanakan.

Penanaman rumput Zeon Zoysia sejak April lepas bagi menggantikan jenis Cow Grass sedia ada, disifatkan lebih sesuai dengan keadaan cuaca serta iklim di negara ini dengan kos dianggarkan mencecah sehingga RM1.4 juta dan ditaja oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

SNBJ sebelum ini pernah menggunakan rumput jenis Bermuda Greenless Park bermula 1998-2005, Marimo Seashore Paspalum bersama Zoysia Material (2005-2013) dan Bermuda Mountain Green bersama Princess (2013-2015). – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan