PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan dasar gaji minimum sebanyak RM1,500 mulai 1 Mei 2022.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO itu berkata, pelaksanaan gaji minimum itu buat permulaan akan diwajibkan terhadap syarikat-syarikat besar termasuk syarikat milik kerajaan (GLC).
“Untuk syarikat kecil, mikro, syarikat yang kurang pendapatan termasuk koperasi-koperasi kecil boleh menangguh pelaksanaannya,” katanya ketika berucap menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira tekanan yang dihadapi oleh golongan B40, yang turut mendapat perhatian para perwakilan UMNO sepanjang PAU 2021 berlangsung.
Kata beliau, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam keputusan tersebut telah dibuat termasuk kesannya kepada perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PKMS).
Mengenai keputusan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang simpanan mereka sebanyak RM10,000 perkara itu sebenarnya beliau telah berbincang perkara itu dengan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Sebenarnya pengumuman ini telah saya bincangkan bersama Presiden parti sebelum pengumuman calon Pilihran Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
“Namun, saya pilih untuk mengumumkannya pada waktu dan ketika yang sesuai, kerana sepanjang musim PRN Johor ramai pihak melakukan pusingan U. Jadi bagi mengelak ramai yang menagguk di ari yang keroh, maka saya memilih untuk mengumumkan pada waktu yang lebih tepat.
“KWSP adalah perjuangan UMNO, setelah selesai PRN Johor, Alhamdulillah, UMNO menang besar, sebelum merayakan Perhimpunan Agung UMNO inilah masa yang tepat untuk saya umumkan pengeluaran khas KWSP,” kata beliau yang disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Ismail Sabri mengumumkan kebenaran pengeluaran KWSP itu pada 15 Mei lalu, iaitu sehari sebelum PAU 2021 bermula.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan cadangan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan di semua peringkat.
Beliau berkata, dengan adanya pindaan tersebut, DBP akan mempunyai lebih kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pelanggaran bahasa termasuk di perikat pihak berkuasa tempatan.
“Akta DBP ini akan diperkasakan dengan DBP akan diberikan kuasa penguatkuasaan. Sebagai contoh
penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda. DBP boleh mengambil tindakan terhadap penyalah gunaan kuasa,” katanya.
Pada masa yang sama, kata Perdana Menteri, beliau telah memaklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi agar semua pelajar asing di negara ini wajib mempelajari Bahasa Melayu.
Beliau berkata, bahasa Melayu telah dituturkan oleh lebih 300 juta penduduk di Asia Tenggara dan menjadi bahasa ketujuh paling ramai penutur di dunia.
Justeru, katanya, tiada sebab bagi rakyat negara ini menggunakan bahasa Melayu malah beliau menanam cita-cita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua bagi ASEAN.
Beliau berkata, sudah tiba masanya UMNO menjuarai dalam memartabatkan bahasa Melayu sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 dan Perlembagaan UMNO Fasal 3.5. – Edisi 9