UMNO perlu menyerahkan kepada kepimpinan atasan bagi membuat keputusan berhubung tarikh pembubaran Parlimen, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Dalam masa sama, Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai itu juga memuji sikap semua jurucakap semasa Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) yang tidak menghentam sesama sendiri dan sentiasa menghormati kepimpinan atasan.
“Kita tahu bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin dekat, jadi kita yang di bawah, harus yakin, percaya, berikan mereka masa dan serahkanlah bulat-bulat kepada lima kepimpinan atasan parti yang diketuai Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk tentukan tarikh PRU-15 nanti.
“Tidak perlu kita yang di bawah mencurah minyak sesama sendiri kerana kerajaan kini, Barisan Nasional (BN) yang memimpin.
“Jika kita tidak sabar dan terjerit-jerit nak bubar Parlimen, rakyat akan melihat kita gila kuasa dan pasti mereka akan mengatakan yang UMNO dah berperangai seperti dulu,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau berkata, UMNO kini seharusnya bergandingan sesama dan terus menyerang pembangkang, bukan dalaman parti.
“Kita mesti menyatakan dan mewar-warkan kepada rakyat dan akar umbi, kerajaan yang diteraju BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sekarang ini, sebenarnya sudah nampak sinar dalam menstabilkan ekonomi negara dan juga telah berani mengutamakan rakyat.
“Lihat sahaja apabila BN diberikan kuasa majoriti memerintah negeri Melaka dan Johor kini, ramai pelabur sudah kembali ke Malaysia dan berminat untuk melabur.
“Ditambah lagi dengan pembukaan sempadan negara bermula 1 April nanti dan juga permohonan I-Sinar yang diluluskan serta Bantuan Keluarga Malaysia yang diumumkan sama pada hari I-Sinar dimaklumkan,” katanya.
Justeru menjadi harapan beliau agar seluruh kepimpinan rapatkan barisan.
“Marilah kita satukan hati dan terus memberi mandat kepada pemimpin untuk membawa parti kita menjadi parti dominan yang mampu membawa suara rakyat bila memerintah selepas PRU 15 nanti, jika diizinkan Allah,” katanya. – Edisi 9