27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pengembara Malaysia-Singapura lengkap vaksin tak perlu kuarantin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyenaraikan protokol khusus bagi semua pengembara yang melalui sempadan darat Malaysia-Republik Singapura selepas kedua-dua negara bersetuju membenarkan pembukaan sempadan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pengembara yang telah lengkap vaksinasi COVID-19, dibenarkan merentas sempadan darat antara Malaysia dan Singapura.

“Mereka tidak perlu menjalani kuarantin, melakukan pengujian COVID-19 sebelum berlepas; dan melakukan pengujian COVID-19 semasa ketibaan.

“Manakala bagi semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi COVID-19 yang melalui sempadan udara Malaysia-Republik Singapura, mereka hanya perlu melakukan pengujian COVID-19 dalam tempoh dua hari sebelum berlepas.

“Mereka tidak menjalani kuarantin dan melakukan pengujian COVID-19 semasa ketibaan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Jelas Khairy lagi, tiada had kekerapan ditetapkan bagi kenderaan yang menggunakan laluan darat dan juga penerbangan udara.

Katanya, kedua-dua kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada syarikat penerbangan untuk menentukan jumlah penerbangan masing-masing.

Ujar beliau, protokol itu adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

“Check point darat juga akan dibuka semula selama tempoh 24 jam sehari,”katanya.

Sementara itu, mengenai sempadan darat Malaysia-Thailand pula, Khairy berkata, hanya dua pintu sempadan darat yang telah dipersetujui untuk dibuka bermula 1 April ini.

Ia melibatkan Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan.

Katanya, kerajaan Thailand juga hanya bersedia untuk menerima pengembara pelancongan sahaja.

“Manakala bagi pengembara harian dan kerap, perbincangan masih dijalankan antara Malaysia dan Thailand,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, Khairy berkata, pengembara yang didapati membuat pengisytiharan palsu di dalam aplikasi MySejahtera akan dikenakan tindakan penjara dan denda.

“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya pengembara memberikan maklumat palsu ketika mengisi maklumat di aplikasi tersebut.

“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta 342, sama ada didenda atau dipenjara atau kedua-duanya,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan