MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memanjatkan kesyukuran berikutan pembukaan sempadan Johor-Singapura pada 1 April ini.
Perkara itu dikongsikan beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, semoga setiap apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik demi bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Terdahulu, Onn Hafiz berkesempatan berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang pembukaan semula sempadan Johor-Singapura.
Sementara itu, menerusi perkongsian hantaran terdahulu, Onn Hafiz mewakili Kerajaan Negeri Johor, menyambut baik dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singpura, TYT Lee Hsien Loong, yang telah mengumumkan berita baik ini buat bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Terima kasih juga buat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang banyak membantu dalam usaha pembukaan semula sempadan Johor-Singapura ini,”katanya.
Beliau berkata, berkat kesabaran bangsa Johor dan rakyat Malaysia selama lebih 20 bulan, akhirnya sempadan Johor-Singapura akan kembali dibuka pada 1 April 2022.
“Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID-19, Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sepenuhnya sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.
“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan negeri Johor yang memberi impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau akan berusaha memastikan segala persiapan di sempadan Johor-Singapura berada pada tahap yang baik dan mengambil kira isu kesesakan lalu lintas.
“Semoga pembukaan sempadan ini akan menjadi lembaran baru bukan sahaja buat Malaysia dan Singapura, malah buat negeri Johor dengan Singapura.
“Saya berharap agar saya dapat berjumpa dengan pucuk pimpinan Singapura dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju pembangunan negeri Johor dan Singapura untuk masa yang mendatang,”katanya.- Edisi 9