26.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Tanah, hak Orang Asli dilindungi kuasa Sultan Johor

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEMUA kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di negeri Johor kini diletakkan di bawah bidang kuasa sultan (sultanate land) agar tidak ada mana-mana pihak berbuat sesuka hati terhadap hak kaum tersebut.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah tersebut juga bagi melindungi dan menjaga hak Orang Asli di samping memastikan tiada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahguna tanah rizab tersebut.

Beliau berkata, sejak akhir-akhir ini kerajaan negeri mendapat pelbagai aduan berhubung eksploitasi yang dibuat terhadap Orang Asli oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi kepentingan peribadi.

“Antaranya adalah penerokaan secara tidak sah tanah-tanah rizab Orang Asli di Negeri Johor yang dibangunkan bagi tujuan hasil komersial. Orang Asli juga sering digunakan sebagai juru pandu untuk memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

“Tidak cukup dengan itu, ada Orang Asli yang digunakan untuk mengekstraktasi hasil hutan secara haram seperti kayu gaharu dan logam-logam bernilai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisements

Tambah beliau, kerajaan negeri sangat peka dan prihatin terhadap eksploitasi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab kepada Orang Asli di negeri ini.

“Antara undang-undang yang diguna pakai adalah, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), Enakmen Tanah Kesultanan 1934, Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-kaedah Tanah Johor 1966,” ujarnya. 

Sehubungan dengan itu, kata beliau, kerajaan negeri berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli lagi.

“Janganlah menangguk di air yang keruh dan memutarbelitkan hasrat murni kerajaan negeri ini.

“Jika ada mana-mana pihak memerlukan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci boleh berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selangor sah tarik diri Piala Sumbangsih bertemu JDT

SELANGOR FC (SFC) membuat keputusan untuk menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’azim di Stadium Sultan...

Lagi Artikel Berkaitan