36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kerajaan dukung usaha gilap bakat ahli akademik – Ismail Sabri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN sentiasa mendukung usaha-usaha ke arah menggilap bakat ahli-ahli akademik tempatan melalui pelbagai aktiviti termasuklah pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyeliaan, penyelidikan, penulisan ilmiah dan penulisan media massa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) yang dinobat harus diangkat menjadi ikon dan contoh ikutan kepada ahli-ahli akademik lain, terutama kepada golongan pensyarah muda.

Menurut beliau, seorang pensyarah atau pengajar pendidikan tinggi bukan sekadar mendidik tetapi perlu menjadi seorang ahli sarjana awam atau ‘public academic’ yang berbakti kepada semua lapisan Keluarga Malaysia.

“Jadilah ejen-ejen perubahan atau ‘change agents’ demi keharmonian dan kesejahteraan Keluarga Malaysia seluruhnya.

“Memetik kata-kata Saudara Muhammad Yunus, seorang lagi pemenang Anugerah Nobel yang terkenal di persada global, “Universiti tidak seharusnya menjadi pulau di mana ahli akademik mencapai tahap pengetahuan yang lebih tinggi dan lebih tinggi tanpa berkongsi pengetahuan ini dengan jirannya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis AAN, di Hotel Sama-Sama, Sepang, malam ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ujar Ismail Sabri lagi, pengiktirafan diberikan setiap tahun kepada ahli-ahli akademik tersohor negara atas usaha mereka membudayakan ilmu di peringkat tertinggi, selari dengan dasar Kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan tinggi pilihan di Asia terutamanya di Asia Tenggara.

Menurutnya, AAN penting kerana ia memperlihatkan usaha Kerajaan mengiktiraf ahli-ahli akademik negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di dalam pelbagai bidang ilmu.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga akan terus berusaha membangunkan bakat-bakat akademik dan melaksanakan inisiatif pembangunan kesarjanaan yang holistik.

Menurut beliau, bakat dan kesarjanaan tersebut pula perlu mencakupi kepelbagaian bidang ilmu atau ‘multidisciplinary’ sebagai persediaan untuk menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar.

“Ahli akademik juga perlu melengkapkan diri seiring dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 yang memperkenalkan kaedah baharu dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, internet mudah alih berkelajuan tinggi, analitis data raya (BDA) dan internet benda (IoT) yang akan memberi kesan kepada pendidikan dan latihan.

Perdana Menteri turut menegaskan peranan ahli akademik amat penting bagi menyiapkan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2025 seperti mana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Justeru, Kerajaan akan memastikan usaha bersepadu akan dilaksana bagi menggalakkan peralihan kepada sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan memenuhi kehendak industri.

“Langkah ini termasuk mempelbagaikan laluan pendidikan dan latihan, menawarkan program “trans-disciplinary” dan menyusun semula program sedia ada untuk menerapkan pendekatan yang lebih inovatif,” katanya.

Menurutnya, ia akan membolehkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) menawarkan lebih banyak kurikulum yang fleksibel dan dinamik serta boleh dikemas kini dan disesuaikan mengikut permintaan industri.

Manakala, TVET pula menurut beliau akan diberikan penekanan penting dan dijadikan sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk pelajar yang tidak berjaya dalam bidang akademik.

“Daya tarikan serta kualiti penyampaian dan latihan TVET akan dipertingkatkan melalui penambahbaikan akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan.

“IPT juga akan terus digalakkan untuk mempertingkat pendidikan keusahawanan bagi membudayakan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, beliau mengingatkan perubahan drastik sedang terus berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada semua peringkat pendidikan formal.

“Hari ini, pengajaran dan pembelajaran berorientasikan masa hadapan perlu menjadi teras pendidikan tinggi nasional.

“Malah, konsep ‘Future Learning Initiatives’ tidak lagi menjadi sesuatu yang aneh di institusi pendidikan tinggi negara kita.

Menurut beliau, semakin ramai ahli sarjana Keluarga Malaysia, tidak kira usia dan kepakaran masing-masing sedang meneroka dan mengaplikasikan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkehadapan, agar mahasiswa kita tidak ketinggalan dengan arus pemodenan drastik dalam pendidikan tinggi yang melanda dunia.

“Dengan cabaran yang dibawa oleh proses revolusi industri, masalah berkaitan pandemik global dan bermacam lagi tembok halangan, institusi pendidikan tinggi tempatan hari ini menjadi medan penentu jatuh atau bangunnya perantis ilmuwan masa hadapan negara,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan