26.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Malaysia-Singapura benarkan pengembara lengkap vaksinasi rentas sempadan

Pengembara lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan bermula 1 April ini.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA dan Singapura bersetuju membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan bermula 1 April ini.

Keputusan itu dicapai apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya Perdana Menteri Republik Singapura Lee Hsien Loong mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat).

Kedua-dua Perdana Menteri juga mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID-19, kedua-dua pemimpin juga turut bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.

Ismail Sabri berkata, Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April 2022, dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara.

Advertisements

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua
negara,” katanya.

Sementara itu, Hsien Loong berkata, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.

“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan COVID-19.

“Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kededua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kedua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini,” kata
Hsien Loong.

Terdahulu, Ismail Sabri telah mengadakan panggilan telefon bersama Hsien Loong, di pejabatnya di Putrajaya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan