25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kerajaan sedia Skim Insurans Keluarga Malaysia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bersetuju untuk menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah skim berkenaan, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans yang melibatkan 268,000 keluarga miskin dengan premium RM 50 setahun.

Menurutnya, skim berkenaan melibatkan kos sebanyak RM 13.4 juta.

“Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM 10,000, keilatan kekal RM 10,000 sementara yang meninggal dunia akibat kemalangan RM 20,000.

“Pada masa yang sama, Pru-takaful BSN menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM 30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih,” katanya sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menyatakan Skim Insurans Keluarga Malaysia merupakan satu dari tiga perkara penting dan khabar gembira untuk Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, perkara kedua ialah mulai mulai 1 April, negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’, dan keputusan Kerajaan ini amat tepat pada masanya, lebih – lebih lagi menjelang Ramadan.

“Ini membolehkan Keluarga Malaysia mengimarahkan masjid dan surau dengan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah tanpa perlu penjarakan fizikal.

“Had waktu operasi perniagaan juga dimansuhkan dan Keluarga Malaysia yang kesuntukkan masa memasak untuk bersahur bolehlah makan di gerai – gerai yang menyediakan pelbagai jenis masakan, diikuti solat subuh.

Ujar beliau lagi, walaupun tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih terikat dengan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka atau mask di samping penjagaan kebersihan diri.

“Justeru, bagi memastikan SOP dan Garis Panduan (GP) masih terjaga, saya melancarkan program Duta Komuniti Keluarga Malaysia yang berkonsepkan kesukarelawan.

“Matlamatnya ialah membudayakan kawalan kendiri dalam kalangan komuniti sepanjang fasa peralihan ke endemik.

Menurutnya, duta Komuniti tersebut akan ditempatkan di kawasan berisiko tinggi iaitu sesak dan tertutup.

Advertisements

“Mereka akan memastikan maklumat yang disampaikan kepada komuniti adalah tepat, terkini dan efektif dengan cara penyampaian yang bernada lembut, berhemah dan bersopan – santun apabila membuat teguran.

“Saya yakin program ini dapat memperkasakan komuniti, bersama Kerajaan, mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan norma baru demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, berita gembira ketiga adalah untuk penduduk utara di Perlis dan Kedah.

“Mulai 1 April ini Thailand bersetuju membuka pintu sempadan darat di Wang Kelian (Perlis) dan Bukit Kayu Hitam (Kedah).

“Saya juga sudah meminta Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin untuk berbincang dengan Kerajaan Thailand untuk membuka pintu sempadan di Padang Besar dan kawasan-kawasan lain di utara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perlis ini bertujuan untuk meningkatkan usaha penyebar-luasan konsep serta hala tuju Keluarga Malaysia agar mudah difahami dan dihayati oleh semua.

“Sejak Oktober tahun lalu, Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menubuhkan Skuad Keluarga Malaysia dengan kekuatan 10,000 anggota yang bertugas menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Di sini saya menyeru agar lebih ramai sukarelawan mendaftarkan diri sebagai ahli Skuad Keluarga Malaysia melalui laman web Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Kerajaan komited dalam memperkasakan pendapatan Kumpulan Sasar melalui Program Meningkatkan Taraf Hidup Golongan B40 dalam kalangan Masyarakat Pertanian Agro-makanan.

“Menerusi program ini pelbagai jenis bantuan telah diagihkan kepada 39,171 orang penerima dengan peruntukan RM 109.7 juta.

Manakala menurut beliau, 1,300 pesawah telah mendapat manfaat menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi tujuan meningkatkan produktiviti penanaman padi.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan