31.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 30, 2023

ADUN Machap angkat sumpah MB Johor Ke-19

Mesti Baca

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini.

Beliau menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Berangkat sama, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Onn Hafiz, 43, mencatat sejarah tersendiri apabila menduduki jawatan yang pernah disandang moyangnya, Datuk Onn Jaafar yang menjadi Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947.

“Onn Hafiz yang sebelum ini memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor amat aktif dalam pergerakan generasi muda,” kata satu kenyataan dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu lalu, BN meraih kemenangan besar dengan mencatatkan kejayaan dua pertiga apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi.

Baca juga:   e-gate untuk warga Singapura dibuka di BSI, KSAB mulai hari ini

Onn Hafiz dicalonkan sebagai Menteri Besar setelah diberi laluan Hasni “demi kemakmuran negeri Johor”.

Onn Hafiz dilahirkan pada 2 Mac 1979 di Simpang Renggam, Kluang, Johor dan merupakan juga cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn serta anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Baca juga:   Sultan Ibrahim titah calon Exco Johor perlu isytihar harta

Berkelulusan dalam bidang perakaunan dari University of Hertfordshire, United Kingdom, beliau mula bergiat aktif dalam politik apabila menganggotai Pemuda UMNO Sembrong pada tahun 2006.

Pada 2012 beliau menjadi Ketua Pemuda Sembrong serta Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Onn Hafiz menang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang dan dilantik sebagai Exco Belia dan Sukan pada 2020 di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Dalam PRN Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz berpindah ke DUN Machap dan menang dengan majoriti 6,543 dalam pertembungan empat penjuru.

Onn Hafiz memperoleh 11,029 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Azlisham Azahar yang mendapat 4,486 undi, R. Sangaran (MUDA) 3,493 undi dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Pejuang) yang hanya mendapat 465 undi.

Hasil perkahwinan dengan Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor, beliau dikurniakan empat cahaya mata. – Edisi 9

Baca juga:   Johor kaji semula cuti hujung minggu - MB

Wartawan

Terkini

Cuti umum Aidilfitri di Indonesia bermula 19 April

PEMERINTAH Indonesia mengumumkan permulaan cuti umum sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 19 April dan berakhir pada 25 April. Memetik...

Lagi Artikel Berkaitan