30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jawatankuasa kes Adib minta orang awam salur bukti

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JAWATANKUASA Khas Siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim berharap mendapat kerjasama daripada orang awam terutamanya yang mempunyai maklumat atau bukti bergambar serta rakaman video kejadian berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mereka yang tidak berpeluang tampil memberi maklumat diseru menghubungi sekretariat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Menurutnya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, individu boleh menghubungi Yusof Ali di talian 03-8885190 atau emel [email protected] atau Sanjeetha Nair di talian 03-88851209 atau emel [email protected].

Tambahnya lagi, beliau telah mendengar pembentangan Laporan Interim yang merupakan laporan kemajuan daripada ahli-ahli Jawatankuasa Khas Teknikal.

“Laporan Interim ini telah disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu tiga bulan dari tarikh ditubuhkan dan telah dibentangkan hari ini.

“Laporan ini juga telah dibentangkan oleh Prof. Madya Datuk Dr. Sundramoorthy M. Pathmanathan selaku Setiausaha Jawatankuasa Khas Teknikal.

“Laporan ini berdasarkan maklumat sedia ada serta tindakan-tindakan yang telah diambil oleh ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal dalam mendapatkan fakta lanjut berkaitan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan pula telah dipersetujui pada 8 Disember 2021 dan mesyuarat pertama telah diadakan pada 21 Disember tahun sama.

Jawatankuasa Khas Siasatan juga bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal yang dapat membantu dalam proses pencarian fakta manakala Laporan Akhir akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa enam bulan dari tarikh penubuhannya.

Penubuhan jawatankuasa khas berkenaan adalah bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya dapat dibuat terhadap kes kematian anggota bomba tersebut.

Terdahulu, Wan Junaidi berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut dan turut dibarisi dua lagi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Selain itu, keahlian lain melibatkan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Kamardin Hashim; Pakar Perunding Kanan Patologi Forensik Kolej Perubatan Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh Jeswant Singh dan Profesor Ulung Fakulti Perubatan Universiti Malaya yang juga Pakar Perunding Kanan Histopathologist Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Datuk Dr. Looi Lai Meng.

Untuk rekod, Muhammad Adib Mohd. Kassim meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, pada 27 November 2018.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan