24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Onn Hafiz anggap Hasni berjiwa negarawan

Percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi menganggap Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad sebagai seorang yang berjiwa negarawan.

Beliau berkata, pengorbanan yang dilakukan oleh Hasni untuk memberi ruang kepada orang muda memimpin negeri Johor menunjukkan betapa besarnya jiwa beliau.

Malahan, menurutnya, ADUN Benut yang juga penyandang jawatan itu sebelum ini juga membuktikan beliau menyakini peranan dan kemampuan orang muda untuk mengemudi negeri Johor.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

“Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz Ghazi menandatangani watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Johor Ke-19.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu merafak sembah menjunjung kasih ke atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar untuk beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Berangkat sama ke istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar Johor yang baharu itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor turut hadir dalam majlis tersebut.

Advertisements

Onn Hafiz berkata, beliau berasa insaf dan kerdil dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Namun, beliau berkata tanggungjawab yang amat besar itu akan digalas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri dan Bangsa Johor.

“Patik juga menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, yang turut berangkat bersama.

“Patik menjunjung kasih diatas segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan,” katanya lagi.

Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Menerusi kenyataan pertamanya itu, Onn Hafiz berkata, beliau memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengannya – bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang dicintai.

“Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan Negeri ini dan setiap dari rakyatnya.

“Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua.

“Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan