27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Isu sesak: MB Johor ‘spot check’ lagi keadaan di CIQ BSI

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluangkan masa meninjau sekali lagi keadaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru pagi tadi, bagi memastikan isu kesesakan dapat diatasi.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Onn Hafiz berkata, beliau yakin kekerapan pemantauan dan koordinasi yang baik dapat mengurangkan isu kesesakan yang berlaku di CIQ berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah. Awal pagi tadi saya sempat meninjau lagi keadaan BSI.

“Saya yakin bahawa pemantauan dan koordinasi yang baik dapat mengurangkan isu kesesakan ini. Selain itu, saya juga berharap agar kerja-kerja penyelenggaraan di BSI dapat dilakukan dengan lebih efisien,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pegawai Jabatan Imigresen dan Kastam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua pihak yang membantu bagi mengurangkan kesesakan.

“Semoga dipermudahkan segala urusan kita semua,” katanya.

Semalam, Kerajaan Johor dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu kesesakan yang berlaku di CIQ BSI serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Onn Hafiz dilaporkan berkata, Johor dan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memperbaiki serta menambah baik sistem sedia ada, sekali gus mengurangkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Antara inisiatif baharu yang dibincangkan dari segi isu teknikal di BSI ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi pemantauan kaunter, penggabungan kaunter, ubah suai e-gate, ‘Automatic Land Barrier’ (ALB), penambahan bumbung di MBike dan penyelenggaraan pendingin hawa. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan