27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PIP bakal rancakkan perdagangan dengan Thailand – PM

Mesti Baca

PENUBUHAN Perlis Inland Port (PIP) amat tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan dengan Thailand, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, PIP juga mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di NCER iaitu Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley.

“PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

“Ini akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) dan “Bonded Road” di Padang Besar hari ini.

Majlis itu disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Berangkat sama mengiringi baginda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Eksekutif NCIA, Mohammad Haris Kader Sultan.

Kata Perdana Menteri, ekoran daripada pelancaran PIP, CVIA dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.

Ujar Ismail Sabri, walaupun baru dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan.

“Sehubungan itu, NCIA akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER,” jelasnya.

Sementara itu, tambah Ismail Sabri, Perlis sedang berada di trajektori peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik.

Katanya, ini dapat dilihat menerusi kenaikan jumlah dagangan melalui negeri Perlis pada tempoh Januari hingga Disember 2021 iaitu sebanyak RM7.9 billion berbanding RM5.4 billion pada tempoh yang sama tahun 2020.

“Penyertaan tenaga kerja pula mencatatkan 64.5 peratus pada suku keempat tahun 2021 berbanding 63 peratus bagi tempoh yang sama pada 2020.

“Setelah sekian lama dikenali sebagai negeri yang berteraskan pertanian, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA,” ujarnya.

Selain itu Ismail Sabri berkata NCER kini berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah adalah antara 6.5 peratus dan 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2022.

“Berdasarkan indikator ekonomi yang positif dan memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia dalam wilayah ini memperolehi manfaat, kerajaan Perlis dan NCER perlu terus meningkatkan daya saing dalam era pasca COVID-19 bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa,” tambahnya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan