29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

7,077 golongan muda maut di atas jalan raya – PM

Jumlah itu bersamaan hampir 50 peratus daripada 14,308 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh 2019 hingga 2021

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

GOLONGAN muda mencatatkan jumlah kematian tertinggi di jalan raya dengan purata 7,077 kes sepanjang tahun 2019 hingga 2021 lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, jumlah itu bersamaan hampir 50 peratus daripada 14,308 kes kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, ini menunjukkan golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi semasa berada di jalan raya sekali gus menjadi cabaran besar bagi pihak penguatkuasa untuk membendungnya.

“Berdasarkan Aspirasi Malaysia, kerajaan berhasrat mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus, menjelang tahun 2030.

“Nahas jalan raya merupakan antara penyebab kematian utama di negara ini, bagi tahun 2019 hingga 2021, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah sebanyak 14,308 kes.

“Secara purata, sebanyak 4,769 nyawa terkorban di jalan raya setiap tahun dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam majlis pelancaran Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Bera, Pahang hari ini.

Ismail Sabri Yaakob secara simbolik menyerahkan bantuan lesen motosikal B2 kepada dua wakil Orang Asli di Bera, Pahang.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, BLKM itu merupakan inisiatif kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meringankan beban Keluarga Malaysia terutama golongan B40 di kawasan Parlimen tersebut.

Kata beliau, menerusi program BLKM itu, seramai 404 penduduk Orang Asli di Bera mendapat Bantuan Lesen Memandu Motosikal (Lesen B2) selepas berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.

“Bantuan ini membolehkan masyarakat luar bandar khasnya penduduk Orang Asli di Bera, menarik nafas lega dalam mengharungi kehidupan harian yang semakin mencabar.

“Dengan pemilikan lesen kelas B2 ini, golongan berkenaan dapat meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selain mengukuhkan pasaran tenaga kerja negara,” kata beliau.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, negara kini berada pada landasan yang betul ke arah pemulihan ekonomi dengan pertumbuhan turut disokong oleh pembangunan pesat dalam sektor pengangkutan.

Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan bersifat menyeluruh dan berterusan, Malaysia telah menggubal Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 ke arah menjadikan Malaysia, sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Sektor pengangkutan merupakan pemangkin utama bagi pembangunan sosioekonomi, di mana aspek kecekapan sistem pengangkutan berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi dan aktiviti perdagangan negara.

“Melalui perancangan strategik, kerjasama, dan komitmen semua pihak termasuk pihak industri, Kerajaan dapat menyediakan satu sistem pengangkutan yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan seterusnya menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin BLKM tersebut dapat memberikan manfaat daripada segi penciptaan pekerjaan dalam kalangan masyarakat B40, sekali gus memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia.

Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh komuniti, wakil rakyat, ketua kampung, Tok Batin dan ketua Keluarga Malaysia untuk sama-sama memanfaatkan sepenuhnya peluang dan insentif yang disediakan di bawah BLKM ini.

Bagi Keluarga Malaysia yang masih menganggur dan mencari peluang pendapatan baharu, diharapkan BLKM ini dapat memudahkan segala urusan harian, meningkatkan sosioekonomi dan mengatasi masalah
ketiadaan lesen memandu, dalam kalangan golongan B40.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan