24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Warga emas catat kematian Covid-19 tertinggi sejak pandemik

Sebanyak 19,250 orang atau 57.4 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan di negara ini adalah dalam kalangan warga emas

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

WARGA emas mencatatkan kes kematian tertinggi akibat Covid-19 sejak pandemik itu melanda iaitu sebanyak 19,250 orang atau 57.4 peratus daripada jumlah kematian keseluruhan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak 19 Mac 2020 hingga 9 Mac lalu, seramai 367,522 golongan warga emas telah dijangkiti wabak tersebut.

Beliau berkata, jumlah itu bersamaa 9.9 peratus daripada 3,711,199 kes Covid-19 yang dilaporkan di negara ini.

“Warga emas menjadi golongan yang paling terkesan dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 dengan komplikasi teruk sehingga menjadikan lebih separuh jumlah kematian terdiri daripada golongan berkenaan.

“Ini adalah kerana daya tahan tubuh yang rendah, penyakit kronik yang dihidapi oleh warga emas, dan proses penyembuhan serta pemulihan daripada jangkitan Covid-19 juga lebih perlahan dan rumit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, berbanding kumpulan umur yang lebih muda iaitu kurang daripada 60 tahun, jumlah dan kadar kematian dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas adalah lebih tinggi.

Beliau berkata, warga emas yang berada di pusat jagaan juga terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 yang mana jangkitan mungkin menjadi tidak terkawal jika penghuni dan penjaga tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Penularan jangkitan Covid-19 dalam pusat jagaan warga emas lebih mudah dan cepat kerana jumlah penghuni yang ramai mengakibatkan kesukaran amalan penjarakan fizikal,” kata beliau.

Katanya, data antarabangsa pada tahun 2020 menunjukkan sebanyak 47 peratus kematian akibat pandemik itu adalah dalam kalangan warga emas yang tinggal di institusi berkediaman.

Beliau menambah, sebanyak 154 kluster Covid-19 bersamaan 39.6 peratus di pusat jagaan warga emas telah dilaporkan di negara ini bermula 25 Januari 2020 sehingga 3 Mac lalu.

Tegas beliau, kluster berkenaan adalah penyumbang tertinggi berbanding kluster-kluster kumpulan berisiko yang lain seperti kluster di pusat jagaan kanak-kanak, pusat dialisis, dan lain-lain.

Advertisements

Susulan itu, menurutnya, sejak 19 April tahun lalu, warga emas mula ditawarkan vaksinasi Covid-19 bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk termasuk kemasukan ke hospital dan kematian.

“Keberkesanan vaksinasi dapat dilihat melalui penurunan kes kematian dalam kalangan warga emas yang telah lengkap divaksinasi dos primer dan dos penggalak pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Noor Hisham berkata, sehingga 9 Mac lalu, sebanyak 3,355,784 atau bersamaan 91.9 peratus warga emas telah menerima dos primer vaksin Covid-19 yang lengkap.

“Selepas dos penggalak diperkenalkan pada 16 Oktober tahun lalu, sebanyak 2,472,576 atau bersamaan 73.6 peratus warga emas telah mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.

“Kumpulan warga emas yang tidak divaksinasi adalah paling berisiko untuk dijangkiti Covid-19 dan mengakibatkan kematian.

Menurutnya, warga emas yang telah menerima vaksin Covid-19 dos penggalak adalah paling terlindung, di mana dapat dilihat jumlah kes dijangkiti Covid-19 dan juga kematian akibat Covid-19 yang lebih rendah dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan lengkap divaksinasi tetapi tidak lengkap dos penggalak.

“Vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19,” katanya.

Oleh itu menurutnya, KKM menyeru semua warga emas yang berkelayakan namun belum menerima vaksin sama ada dos primer atau dos penggalak untuk segera mendapatkannya dari pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara walk-in.

“Vaksin tidak menjadikan seseorang kebal terhadap jangkitan Covid-19, tetapi vaksin dapat melindungi daripada kesan jangkitan yang teruk sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan