27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

42,166 individu dapat pekerjaan Januari lalu – Ismail Sabri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 42,166 individu direkodkan telah mendapat pekerjaan pada bulan Januari lalu selaras dengan hasrat kerajaan melalui inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, sejumlah 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

Menurut beliau lagi, senario berkenaan mencerminkan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

“Malah, kejayaan ini juga membuktikan bahawa inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

“Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia mempunyai tiga komponen utama iaitu insentif Penggajian Jamin Kerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi berkongsikan pengisian mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara (NEC) hari ini untuk membincangkan program dan inisiatif yang telah dan akan dijalankan oleh agensi pelaksana untuk mencipta peluang pekerjaan bagi Keluarga Malaysia.

Ujar Perdana Menteri lagi, mengimbas kembali kejayaan yang telah dicapai pada tahun lalu, Kerajaan dengan kerjasama bersepadu pelbagai Kementerian, agensi pelaksana dan sektor swasta telah berjaya menempatkan 558,633 pekerjaan.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan adalah 112 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang telah ditetapkan dan Kerajaan yakin bahawa kejayaan ini boleh diulangi dengan sasaran yang lebih tinggi bagi tahun ini.

“Di samping itu, Majlis juga meneliti dan membincangkan strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Sistem kuota dan Multi-tier Levy (MTL) merupakan langkah yang boleh diambil dalam menangani isu ini dan sokongan daripada pihak majikan juga perlu bagi mengimbangi impak kekurangan tenaga kerja pasca-pandemik,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat NEC juga bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian Jamin Kerja, 220,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dan 80,000 di bawah MySTEP.

“Sebagaimana aturan sebelum ini, pencapaian sasaran ini akan disokong oleh lima Pasukan Petugas Khas (STF) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian masing-masing.

Sementara itu menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah diarahkan merangka strategi yang khusus bertujuan meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi golongan belia.

“Langkah ini penting kerana kadar pengangguran dalam golongan berkenaan berada pada tahap 80.3 peratus.

“Kerajaan turut mengulangi pendirian mengenai usaha pendedahan awal pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar Tingkatan 1, untuk membantu pelajar membuat pilihan berdasarkan kecenderungan minat mereka,” katanya.

Bagi tujuan berkenaan menurut beliau, kempen promosi dan penjenamaan semula TVET akan dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua.

“Sebaliknya, TVET akan diperkasakan agar ia menjadi kerjaya pilihan seperti negara maju.

Kerajaan juga ujar beliau, akan menambah baik dan memperkasa ekosistem pekerjaan melalui pewujudan Pusat Penempatan Pekerjaan sehenti yang akan memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan.

“Ia merupakan pelengkap bagi platform MYFutureJobs yang memudahkan majikan menawarkan pekerjaan dan pada masa yang sama membantu pencari kerja untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan tarikh temu duga,” katanya.

“Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.

Selain itu tambah beliau lagi, Kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan