26 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Banjir: Tiada aktiviti pembalakan haram di Tasik Kenyir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIADA sebarang aktiviti pembalakan secara haram di sekitar Tasik Kenyir sehingga membawa impak kemusnahan yang sangat besar semasa banjir melanda Hulu Terengganu Ahad lalu.

Demikian tegas Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu Roslan Rani sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak termasuk netizen yang berkongsi maklumat tidak benar itu di media sosial.

“Sebaliknya, berdasarkan taklimat dari Tenaga Nasional Berhad (TNB), situasi yang berlaku adalah disebabkan terjadinya gelinciran tanah hingga menyebabkan tanah runtuh (berhampiran Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir) pada Ahad lalu.

“Semasa tanah runtuh itu juga berlakunya fenomena ‘kepala air’ yang turut menyebabkan banyak pokok berhampiran, sampah sarap yang lama, juga sisa kayu dahan dan ranting yang mati dihanyutkan ke dalam sungai.

“Ia menyebabkan seolah-olah berlakunya ‘banjir puing’ kerana ada video yang tular di media sosial yang memaparkan ratusan kayu hanyut didakwa sebagai balak oleh orang ramai,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Semalam beliau meninjau keadaan runtuhan tanah di sekitar Empangan Jenagor dan Tasik Kenyir bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman dan wakil TNB.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, situasi sebenar yang terjadi di Tasik Kenyir adalah sama dengan kejadian di Bentong, Pahang pada akhir tahun lalu.

Advertisements

Ditanya mengenai perancangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu susulan kejadian tanah runtuh itu, beliau berkata, pihaknya akan membuat semakan lanjut dengan mengambil gambar menggunakan dron dan koordinat yang tepat lokasi berkenaan.

“Kita akan buat satu pemetaan pelan untuk perancangan dan juga tindakan selanjutnya yang boleh digunakan untuk kajian bagi mengenal pasti langkah yang lebih baik ke atas kawasan yang terjejas ini,” katanya.

Semalam, TNB dalam satu kenyataan memaklumkan operasi SJSM ditutup sementara bermula Ahad lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari SJSM kepada Grid Nasional tumbang akibat kejadian tanah runtuh.

Hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat lalu mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang turut memutuskan akses jalan keluar-masuk ke SJSM pada 4 pagi hari yang sama.

Aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen itu seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu dan enam jam kemudian, berlaku satu lagi tanah runtuh yang menyebabkan sebuah jambatan serta menara penghantaran 132kV runtuh.

Susulan itu, TNB segera menghentikan operasi SJSM.

Namun, sepanjang penutupan sementara SJSM dengan kapasiti 400 megawatt itu, TNB memberi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di Pantai Timur tidak akan terjejas kerana ia boleh ditampung melalui sumber penjanaan lain yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional.

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan