25 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Tasik Kenyir diiktiraf Geopark Kebangsaan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

TASIK Kenyir atau Kenyir Geopark diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang kesembilan di bawah Program Pembangunan Geopark oleh Kerajaan Persekutuan

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, pengiktirafan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada 30 Mei lalu.

Katanya, ini adalah pengiktirafan yang kesembilan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak; Jerai Geopark (Kedah), Kinabalu Geopark (Sabah), Labuan Geopark (Labuan), Sarawak Delta Geopark (Sarawak), Gombak-Hulu Langat Geopark (Selangor) serta Stong Geopark (Kelantan).

“NRECC selaku Pengerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bersama Jawatankuasa Pelaksana Geopark telah melaksanakan usaha dan tanggungjawab yang membanggakan dalam usaha menggalakkan lain-lain Aspirasi Geopark untuk mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyir Geopark dengan keluasan 2,449 kilometer persegi meliputi sebahagian daerah Hulu Terengganu.

Kawasan itu dibentuk oleh pelbagai jenis batuan, mineral, struktur, landskap dan fitur geologi unik hasil daripada proses geologi yang berlaku kira-kira 360 juta tahun yang lalu.

Advertisements

Antara nilai utama yang menjadi kebanggaan Terengganu adalah ciri-ciri utama morfologi karst Bukit Bewah yang wujud di atas tasik yang berwarna kehijauan yang memberikan nilai estetika yang tinggi.

NRECC berkata, geopark ini mengandungi 15 geotapak, satu bertaraf antarabangsa, dua bertaraf kebangsaan dan 12 bertaraf tempatan; 10 biotapak, 11 tapak budaya dan satu tapak geoarkeologi.

Katanya, kewujudan pelbagai jenis fosil marin terutama Shikamaia Sp. (kerang gergasi) berusia 250 juta tahun di dinding batu kapur ini juga memberi nilai tambah kepada Bukit Bewah.

“Penemuan kerangka manusia pra-sejarah berusia 16,000 tahun menjadikan Bukit Bewah sebagai geotapak bertaraf antarabangsa di samping penemuan fosil kesan tapak kaki dinosaur dan fosil tumbuhan di Gunung Gagau.

“Penemuan beberapa spesies flora dan fauna endemik seperti Thismia terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) beserta penemuan artifak arkeologi seperti Batu Bersurat Terengganu menjadi komponen sumber asli penting dalam penubuhan Geopark,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan