Tuesday, July 21, 2026

NRECC tubuh jawatankuasa kaji isu jerebu rentas sempadan

Mesti Baca

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji isu berkaitan jerebu rentas sempadan termasuk penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THA).

NRECC dalam kenyataan berkata, satu bengkel akan diadakan bagi mengkaji serta mendalami semua idea dan dijadual berlangsung selepas Persidangan ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (COP 28).

“Dalam usaha untuk mencari penyelesaian, satu jawatankuasa terdiri daripada jabatan-jabatan Kementerian, pakar, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli panel penasihat dan konsultasi akan ditubuhkan untuk mengkaji isu ini.

“NRECC sekali lagi menegaskan bahawa kementerian ini tidak menutup pintu terhadap cadangan penggubalan rang undang-undang sebagai mekanisme untuk menangani isu jerebu rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

NRECC juga sedang dalam fasa pengumpulan maklum balas dari agensi kerajaan, Jabatan Peguam Negara dan NGO bagi mendapat pandangan pelbagai sudut merangkumi langkah jangka masa pendek dan panjang dalam menangani masalah jerebu merentas sempadan.

“Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad secara konsisten telah menyatakan bahawa penggubalan undang-undang THA perlu diteliti secara menyeluruh mengambil kira segala cabaran dan sekatan khususnya kebolehlaksanaan akta ini berdasarkan pengalaman negara-negara yang sudah mempunyai akta sama seperti Singapura,” kata kenyataan itu lagi.

NRECC memaklumkan terdapat contoh instrumen perundangan paling berjaya setakat ini iaitu Perjanjian Kualiti Udara Kanada-Amerika Syarikat kerana kedua-dua negara terbabit mampu menerimanya dan terdapat sebuah badan untuk menguruskan perjanjian itu. -Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan