32.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Perlis, Lipis Geopark diiktiraf Geopark Kebangsaan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PERLIS dan Lipis Geopark diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-10 dan ke-11 di bawah Program Pembangunan Geopark Kerajaan Persekutuan.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menerusi kenyataan berkata, pengiktirafan itu dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bil. 2 2023 yang diadakan pada 9 November lalu.

“Pengiktirafan ini merupakan satu lagi pencapaian negara, khususnya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Usaha memelihara geotapak yang mempunyai nilai warisan luar biasa ini seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya hari ini.

Antara Geopark yang pernah mendapat pengiktirafan adalah Lembah Kinta dan Lenggong di Perak; Jerai (Kedah), Kinabalu (Sabah), Labuan, Sarawak Delta (Sarawak), Gombak-Hulu Langat (Selangor) Stong (Kelantan) dan Kenyir (Terengganu).

Selain itu, Malaysia juga mempunyai dua UNESCO Global Geopark (UGGp) iaitu Langkawi yang telah diperakukan sejak 2007 dan Kinabalu yang diperakukan sebagai UGGp pada 24 Mei lalu.

Perlis Geopark berkeluasan 1,001 kilometer persegi termasuk sempadan laut, dengan bilangan penduduk sekitar 284,000 orang.

Advertisements

Ia kaya dengan kepelbagaian geologi (23 geotapak), kepelbagaian biologi (8 biotapak), dan budaya tempatan (12 tapak budaya). Daripada 23 geotapak terdapat tiga bertaraf antarabangsa, 14 bertaraf kebangsaan dan enam bertaraf tempatan.

Keunikan geologi yang ada di Perlis Geopark ialah mempunyai unit batuan tertua di Malaysia yang berusia antara 541 juta sehingga unit batuan yang berusia 66 juta tahun.

Manakala, Lipis Geopark berkeluasan 5,198 kilometer persegi dan meliputi 10 mukim di daerah Lipis dengan bilangan penduduk seramai 114,000 orang.

Kawasan Lipis kaya dengan kepelbagaian geologi (28 geotapak) dan biologi (enam biotapak), serta budaya tempatan (sembilan tapak budaya).

Daripada 28 geotapak, satu daripadanya bertaraf antarabangsa, lima bertaraf rantau, lapan bertaraf kebangsaan, satu bertaraf negeri dan 13 bertaraf tempatan.

Lipis Geopark yang terletak di kaki Timur Banjaran Titiwangsa dan dalam Jalur Emas Semenanjung Malaysia mempunyai kepelbagaian geologi yang tinggi.

Ia terdiri daripada batuan sedimen dan igneus (batuan yang terbentuk akibat pembekuan magma), serta fosil pelbagai spesies yang terletak di dalam kawasan perlindungan di Taman Negara dan Hutan Simpan Kekal. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Dua lelaki cuba ceroboh Istana Negara ditahan

DUA lelaki warga tempatan ditahan selepas cuba menceroboh Istana Negara, Kuala Lumpur dengan alasan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong,...

Lagi Artikel Berkaitan