YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menafikan ada memberi bantuan pendidikan secara tunai kepada pelajar sekolah mahupun penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) seperti yang ditularkan sebuah laman sesawang, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameer Ali Vali Mohamed, berkata dalam laporan itu juga menyatakan pelajar boleh membuat semakan secara dalam talian bagi Dana Inspirasiku selepas menghantar borang bantuan persekolahan untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah berjumlah RM500 dan bantuan IPT RM1,000.
“Perkara ini adalah sama sekali tidak benar dan disifatkan mengelirukan orang ramai.
“YaPEIM sebelum ini pernah mengagihkan bantuan menerusi Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) pada tahun 2019 sebagai antara bantuan pendidikan untuk persekolahan di peringkat sekolah rendah dan menengah serta bantuan bayaran yuran pelajaran di peringkat IPT.
“Tetapi ia sudah dihentikan pada 2 September 2021 bagi peringkat sekolah dan 22 Disember 2022 bagi peringkat IPT.
“YaPEIM meminta orang ramai khususnya golongan pelajar dan ibu bapa supaya lebih berwaspada dengan laporan berita yang tidak sahih dan yang disebarkan laman sesawang itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, YaPEIM mencadangkan masyarakat untuk menyemak kesahihan berita atau maklumat yang diterima terlebih dahulu menerusi saluran media sosial rasmi YaPEIM atau menghubungi terus di talian 03-5614 9600.
“YaPEIM turut memantau sebarang maklumat yang tidak tepat berkenaan Dana Inspirasiku yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dan tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis,” katanya. -Edisi 9

