30.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

31 lokasi berdepan ancaman tanah runtuh

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

JABATAN Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah mengenal pasti sebanyak 31 kawasan hotspot yang berdepan ancaman tanah runtuh di seluruh negara.

JMG menerusi kenyataan berkata, kawasan yang terlibat adalah sekitar Lembah Klang, Tanjung Bungah dan Paya Terubong di Pulau Pinang, Ipoh dan Cameron Highlands di Perak, Kundasang di Sabah dan Bau di Sarawak.

“Sebagai tindakan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh menjelang Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November, JMG telah melaksanakan pemantauan terhadap 254 cerun kritikal di seluruh negara.

“Sebanyak 104 lokasi cerun telah diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi dan sejumlah 97 dan 53 lokasi cerun diklasifikasikan sebagai cerun kritikal sederhana dan rendah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan pemantauan, JMG berkata, sebanyak 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi manakala 15 cerun sedang diambil tindakan mitigasi dan 202 cerun dalam perhatian untuk tindakan selanjutnya.

Advertisements

Katanya, sebaran maklumat hasil pemantauan cerun kritikal ini telah dibuat kepada agensi berkepentingan bagi tindakan susulan.

“JMG juga telah menjalankan pemetaan di 7 lokasi Taman Eko Rimba (TER) yang berpotensi untuk berlakunya bencana geologi aliran puing iaitu di Perak (TER Lata Iskandar), Selangor (TER Sungai Tua), Negeri Sembilan (TER Jeram Toi), Pahang (TER Chamang) dan Terengganu (TER Lata Payung, TER Chemerong dan TER Air Menderu).

“Laporan pemetaan merangkumi Peta Pengurusan Bencana Geologi serta cadangan mitigasi dan pemasangan sistem amaran awal aliran puing disediakan oleh pihak berkepentingan,” katanya.

JMG dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko supaya peka dengan keadaan sekeliling.

“Ini termasuk berlakunya runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan-kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok-pokok yang berterusan condong,” jelasnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bekas kakitangan Utusan dapat persetujuan Mahkamah Persekutuan

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan