32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Terowong SMART, ‘sponge city’ antara langkah atasi banjir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CADANGAN membina terowong SMART dan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China antara 17 cadangan jangka pendek dan panjang yang telah dipersetuju bagi menyelesaikan masalah banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara dasarnya Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Menurut beliau, cadangan berkenaan antaranya membina terowong SMART terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam.

“Selain itu, mesyuarat juga bersetuju untuk cadangan mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda dan pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi.

“Peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang.

Pembinaan lebih banyak terowong SMART antara penyelesaian jangka panjang untuk menghadapi bencana banjir.

“Oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Putrajaya hari ini.

Advertisements

17 cadangan yang telah dipersetujui untuk mengatasi masalah banjir adalah seperti berikut:

  1. Mengenal pasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah.
  1. Bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.
  2. Pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik.
  3. Menaik taraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama.
  4. Meninggikan benteng dan ban sungai serta parit.
  5. Membina lebih banyak tebatan banjir.
  6. Membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.
  7. Membina terowong SMART terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam.
  8. Membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China.
  9. Mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda.
  10. Pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi.
  11. Mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan.
  12. Meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat JPS selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
  13. Membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial Intelligence) serta sistem amaran awal banjir lumpur.
  14. Menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang.
  15. Mengawal penebangan hutan.
  16. Kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir.

Ujar beliau lagi, banjir besar yang melanda negara baru-baru ini amat memberi kesan kepada rakyat.

“Ia bukan merupakan satu isu baharu, malah telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan kerugian bukan sahaja terhadap harta benda tetapi juga kehilangan nyawa.

“Natijah daripada bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan infrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, apa yang berlaku berkenaan seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.

“Justeru, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas. Kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

TLDM tubuh lembaga siasatan tragedi nahas dua helikopter

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua buah helikopter...

Lagi Artikel Berkaitan