BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil dalam satu rakaman video buat kali pertama selepas dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur sejak beberap minggu lalu.
Dalam rakaman video berdurasi 1 minit 15 saat itu, pemimpin politik berusia 96 tahun itu mengakui bahawa beliau sudah pun sembuh tetapi tidak sepenuhnya.
Beliau berkata, pada masa kini beliau telah dibenarkan pulang ke rumahnya di The Mines, Sungai Besi pada sebelah siang dari pukul 8 pagi hingga 4 petang sejak Rabu lalu tetapi perlu kembali ke wad di IJN untuk rawatan pemulihan.
“Saya balik ke rumah setiap hari, dari pagi hingga petang dan akan balik ke hospital kerana ada prosedur yang perlu diteruskan,” kata Dr Mahathir menerusi rakaman video tersebut yang dimuatkan dalam media sosialnya hari ini.
Pada 9 Januari lalu, IJN memaklumkan bahawa bekas pemimpin negara itu selamat menjalani prosedur perubatan elektif yang dilakukan oleh sepasukan doktor dari IJN dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Itu adalah kali kedua Dr Mahathir dimasukkan ke IJN dalam tempoh 16 hari setelah turut diberikan rawatan di hospital sama pada 23 Disember.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi dimasukkan ke IJN pada pertengahan bulan lalu dan kemudian dilaporkan dalam keadaan membimbangkan dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dibenar melawat Dr Mahathir pada 22 Januari lalu, mendoakan agar keluarga bekas pemimpin negara itu diberi ketabahan.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau dan keluarganya mengucapkan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan dari orang ramai.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk pemulihan saya. Ramai yang menghantar bunga, kad dan sebagainya. Untuk itu, saya ucapkan terima kasih.
“Harapan saya, agar saya pulih sepenuhnya,” katanya dalam rakaman video tersebut. -Edisi 9