33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pesakit kanser meningkat 11 peratus, catat kematian tertinggi

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JUMLAH pesakit kanser di negara ini seramai 115,238 kes bagi tempoh 2012 hingga 2016, meningkat sebanyak 11 peratus berbanding 103,507 kes bagi tahun 2007 hingga 2011.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah kematian akibat penyakit itu adalah tertinggi di hospital-hospital swasta iaitu sebanyak 34.95 peratus manakala di hospital Kementerian Kesihatan pula adalah keempat tertinggi (11.56 peratus)

Menurut beliau lagi, kanser juga merupakan antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital KKM iaitu 5.17 peratus dan hospital swasta iaitu 5.37 peratus.

“Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar iaitu sebanyak 16.9 peratus, kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).

“Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus) dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas Khairy lagi, kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0 peratus untuk kanser paru-paru, 51.1 peratus kanser kolorektal, 51.6 peratus kanser serviks, 66.8 peratus dan 73.0 peratus kanser payudara.

Menurut beliau, sebanyak 63.7 peratus dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat iaitu di tahap tiga dan empat.

“Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser.

“Kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi ia turut memberi kesan negatif termasuk psikososial dan ekonomi kepada keluarga serta pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Secara amnya menurut Khairy, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit NCD yang lain.

“Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

“Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan berlebihan, pengambilan alkohol secara berlebihan, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal.

Malah menurut beliau, pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan ia menyumbang kepada 22 peratus kes kematian akibat kanser.

“Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM 132.7 juta.

Menyedari perkara ini, KKM katanya kini sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game di dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan nanti.

“Pelaksanaan ini diharap dapat mengurangkan jumlah perokok baharu dan dengan itu, KKM boleh menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada.

“Dari aspek penjagaan dan rawatan untuk pesakit kanser di Malaysia, banyak juga kemajuan yang telah dicapai,” ujarnya.

KKM menurut beliau, menyediakan perkhidmatan rawatan dan penjagaan yang terbaik serta berkualiti untuk pesakit-pesakit kanser.

“Namun, tidak dinafikan wujud ketidaksamaan dalam penjagaan dan rawatan kanser di negara ini. Kebanyakkan perkhidmatan tertumpu di pusat-pusat bandar dan sukar untuk dicapai oleh pesakit yang tinggal jauh dari bandar atau pedalaman.

“Kerajaan sebelum ini melalui KKM, telah memperkenalkan program PeKa B40 bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah.

Menurut beliau, program berkenaan merangkumi saringan kanser tertentu, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Walau bagaimanapun, dengan beban penyakit NCD, termasuklah kanser, yang terus meningkat, kita memerlukan satu reformasi sistem kesihatan yang kalis masa hadapan dan ia akan turut merangkumi reformasi sistem pembiayaan kesihatan (healthcare financing).

“Sehubungan itu satu Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia akan disediakan untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapat sokongan kedua-dua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Menurut beliau, sempena sambutan hari Kanser Sedunia pada tahun ini, beliau menyeru kepada semua supaya sentiasa menjadikan amalan cara hidup sihat dan menjaga kesihatan diri sebagai satu daripada agenda utama dalam kehidupan kita seharian.

“Ayuh berganding bahu dan beri sokongan padu kepada KKM untuk mengurangkan beban kanser yang kian meningkat dan bersama-sama menangani jurang penjagaan kanser di negara kita,” ujarnya.

Untuk rekod, tema sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini ialah Close the Care Gap atau Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser.

Kanser merupakan satu daripada penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease atau NCD) yang penting dan merupakan penyebab kematian kedua terpenting di dunia, dengan jumlah kes dan kematian yang meningkat setiap tahun.

WHO menganggarkan peningkatan 93 peratus atau 19.3 juta kes baharu dikesan pada tahun 2020 berbanding 10 juta kes pada tahun 2000.

Jumlah kematian akibat kanser turut meningkat bagi tempoh dua dekad ini iaitu dari 7 juta kepada 10 juta, iaitu peningkatan sebanyak 42.9 peratus.

-EDISI9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan