25.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 29, 2023

Pemilik syarikat pelancongan didakwa gubah wang haram RM1.5j

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG pemilik syarikat pelancongan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM1.15 juta.

Bagaimanapun, tertuduh Norani Ismail, 66, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun semasa Maybank Berhad dan akaun simpanan Malayan Banking Islamic Berhad milik seorang anak tertuduh, akaun semasa Malayan Banking Berhad dan CIMB Bank Berhad milik tertuduh dan satu akaun semasa Hong Leong milik syarikatnya.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, antara 25 Januari hingga 3 Oktober 2019.

Pertuduhan dikemukakan di bawah perenggan 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Baca juga:   Azeez bebas 9 tuduhan rasuah, gubah wang haram

Sekiranya bersabit tuduhan, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan kerana kesalahan itu adalah serius.

Beliau berkata, tertuduh menghadapi satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan memohon supaya kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke mahkamah tersebut untuk didengar bersama kerana melibatkan transaksi yang sama.

Baca juga:   Siar 2 kenyataan fitnah, Khairuddin saman Mahfuz RM10 juta

“Saya juga mohon sebutan kes ini (pengubahan wang) ditetapkan pada 8 Mac, sama dengan sebutan kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam,” katanya.

Peguam Vinod Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengguna pakai wang jaminan RM15,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Ahmad Kamar membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengguna pakai jaminan RM15,000 serta menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula kes. – Bernama

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan