29.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 29, 2023

Azeez bebas 9 tuduhan rasuah, gubah wang haram

Abdul Azeez kini bebas dan lepas dan tidak boleh dituduh lagi atas pertuduhan yang sama.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Dalam prosiding hari ini di Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan notis usul yang dikemukakan peguam bela Amer Hamzah Arshad supaya anak guamnya dibebaskan terus daripada semua pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, memaklumkan kepada mahkamah, pendakwaan tidak membantah permohonan notis usul Abdul Azeez.

“Oleh kerana tiada bantahan daripada pendakwaan, notis usul ini dibenarkan dan pemohon dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan,” kata hakim.

Dengan keputusan itu, bermakna Abdul Azeez kini bebas dan lepas dan tidak boleh dituduh lagi atas pertuduhan yang sama.

Bagi tiga pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Baca juga:   CEO GLC, GLIC, ahli-ahli badan kehakiman kena isytihar harta

Sementara untuk enam pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Baca juga:   MAIS lancar K-Guam, khidmat guaman percuma secara 'online'

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pada 23 September lalu, bekas Ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah atas alasan representasi tertuduh dipertimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut.

Kemudian pada 5 september lalu Abdul Azeez gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sembilan pertuduhan tersebut yang dihadapinya di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md. Said selepas menolak permohonan Abdul Azeez selaku pemohon.

Bagaimanapun empat lagi pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, permohonan perayu untuk mengugurkan empat pertuduhan itu dibenarkan.

Sebelum ini, Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Abdul Azeez, 55, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah. Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 Sept 2010 dan 10 April 2018.

Baca juga:   Ejen Mossad: Ahmad Zahid gesa hantar nota bantahan
Baca juga:   Bunuh Koperal Baharuddin, 18 lelaki direman

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

-EDISI9

Wartawan

Terkini

LPPKN, JKN gempur saringan HPV DNA di seluruh negara

LEMBAGA Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) melaksanakan program Gempur Saringan HPV DNA...

Lagi Artikel Berkaitan