28.7 C
Kuala Lumpur
Friday, December 13, 2024

BN perlu fahami dinamik sokongan akar umbi – Hisham

Dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BARISAN Nasional (BN) perlu memahami dinamik sokongan yang diberikan rakyat di peringkat akar umbi dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti.

Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu penting kerana ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN.

“Ini mesti diberi perhatian, kerana saya percaya dalam perjuangan jangan sesekali kecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti,”katanya menerusi hantaran terbaharunya dalam laman Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu memberitahu, beliau kini sedang mengkaji dan meneliti keputusan bagi dua siri pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman dan Parlimen Padang Serai untuk melihat mood serta sentimen rakyat khususnya arah sokongan yang diberikan.

“Walaupun tidak mudah, kita harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang.

“Saya tidak mahu menunding jari menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak menyalahkan parti. Saya orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi UMNO — dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang.

Advertisements

Dalam PRU15 yang tertangguh itu, undi untuk BN merosot hampir separuh di DUN Tioman manakala majoriti Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Padang Serai pula dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.

Calon PN di Padang Serai Datuk Azman Nasrudin, menang besar dengan majoriti 16,260 undi manakala calon BN di DUN Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan majoriti tipis 573 undi.

Dalam pada itu, kata bekas Menteri Pertahanan itu, sejak keputusan PRU15, beliau kini mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangan tanpa berada dalam Kabinet.

“Buat rakan-rakan pimpinan khasnya daripada BN yang menganggotai Kabinet, saya ucapkan selamat maju jaya.

“Saya tahu Kerajaan baharu ini harus menangani dan menyelesaikan pelbagai isu serta cabaran yang amat mendesak demi rakyat dan negara. Antaranya, kos sara hidup dan kedudukan ekonomi semasa.

“Saya mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan,” katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

YKM belanja RM5 juta bantu anak yatim akibat COVID-19

YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) telah membelanjakan sebanyak RM5 juta pada tahun ini bagi membantu meringankan beban dihadapi anak-anak yatim...

Lagi Artikel Berkaitan